Pages

Sunday, April 10, 2011

Ada apa pada NAMA ???



Bismillah…..

Mengingati nama seseorang bukan sahaja penting untuk tujuan membina hubungan social atau silaturrahim malah menjadi terlalu mustahak dalam hubungan yang formal seperti perniagaan, politik dan sebagainya.

Apabila mampu mengingati nama seseorang dalam sesuatu proses komunikasi kita, tentu secara tak langsung dapat menimbulkan kemesraan dan merasakan bahawa diri mereka dihargai dan diingati. Kata pepatah Melayu, “ Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Begitulah pentingnya nama pada manusia.

Keutamaan memberikan nama yang baik bukan sahaja kepada manusia, malah merangkumi segala benda yang wujud di dunia ini. Sebelum Nabi Adam dihantar ke dunia, beliau telah diajar oleh malaikat tentang nama-nama benda yang terdapat di muka bumi ini. Firman ALLAH yang bermaksud :

“ Dia telah mengajari Adam akan nama-nama seluruhnya “
( Surah al-Baqarah 2:31 )

Allah sendiri memiliki 99 nama ( Asma’ al-Husna ) malah ALLAH akan memberikan kita ganjaran sekiranya kita menghafal dan memahaminya. Nama-nama ALLAH ini menggambarkan kepada kita betapa hebatnya sifat-sifat ALLAH dengan kehebatan nama-Nya. ALLAH berfirman yang bermaksud :

“ ALLAH mempunyai 99 nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang memahaminya akan masuk syurga.”
( Riwayat Bukhari & Muslim )

Para ulama’ sepakat mengatakan bahawa kita boleh menggelar seseorang dengan gelaran yang baik dan yang disukainya. Sebagai contoh, nama-nama gelaran para sahabat antaranya:

- Saiyyidina Abu Bakar diberi gelaran ‘Atiq’ (yang dimerdekakan daripada api neraka)
- Sayyidina Umar al-Khattab diberi gelaran ‘al-Faruq’ ( yang membezakan kebenaran daripada kebatilan )
- Sayyidina Hamzah diberi gelaran ‘Asadullah’ ( singa ALLAH )


PANGGILAN NAMA YANG DITEGAH

Kalau diperhatikan, ramai orang yang suka mempermainkan nama dengan memberikan pelbagai gelaran yang tidak baik kepada sahabat-sahabat mereka. Gelaran-gelaran ini tidak kira sama ada ia disebabkan kekurangan orang itu seperti jongang, juling, rabun, bisu, bongkok ataupun disebabkan berkaitan sifat ibubapa dan diri seseorang itu. Para ulama’ sepakat mengatakan bahawa hukum memanggil dengan gelaran yang buruk tersebut adalah HARAM. Firman ALLAH s.w.t yang bermaksud :

“ Dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. “
( Surah al-Hujurat 49:11 )

Namun tidak terlepas juga fenomena yang semakin menular sekarang iaitu memanggil seseorang dengan singkatan yang tidak ada ‘ Makna ‘ dan seolah-olah mempermainkan nama nabi, para isteri dan sahabat baginda antaranya :

- Muhammad dipanggil ‘ Mat ‘
- Fatimah dipanggil ‘ Timah ‘
- Salahuddin dipanggil ‘ Salad ‘
- Abu Bakar dipanggil ‘ Burn ‘
- Aminah dipanggil ‘ Minah ‘………Dan yang sama waktu dengannya…

Gelaran-gelaran sebegini tidak digalakkan menurut sebahagian ulama kerana tidak memberikan makna dan tidak memberika manfaat. Kebanyakkan masyarakat sekarang menggunakan alasan seperti ‘ tak kenal orang tu ‘ untuk menghalalkan mereka memanggil seseorang itu dengan gelaran Mat bagi lelaki dan Minah bagi wanita.


Sebaiknya, jika kita ingin memanggil seseorang yang tidak dikenali dan tidak tahu namanya, kita mengambil pendekatan yang diajar oleh Imam al-Nawawi iaitu dipanggil dengan gelaran yang baik-baik seperti ‘ Encik, Sahabat, Kawan, Tuan, Puan, Saudara, Cik, ‘ dan seumpamanya yang bersesuaian dengan keadaan.

Jelas disini, memberi dan menggunakan nama yang baik dan berunsur keislaman itu sememangnya sangat penting untuk diambil perhatian. Nampak macam remeh, tapi sangat penting. Nama yang baik akan mendatangkan semangat dan pengaruh yang baik.

So, elakkanlah menggunakan nama-nama yang buruk kerana ia secara tak langsung boleh mendatangkan pengaruh negatif kepada segenap aspek kehidupan manusia.
Wallahu’alam

Jom kita hayati 99 Nama ALLAH...

No comments:

Post a Comment