Pages

Wednesday, March 30, 2011

Analisis : Menjawab Salah-Faham terhadap Tareqat berlandaskan al-Quran & Sunnah


Tareqat telah wujud sejak ratusan tahun. Kini pelbagai nama tareqat muncul dengan pelbagai dakwaan. Mungkin ada yang benar dan mungkin ada yang tidak. Dalam hal tareqat ini, muncul dua aliran yang bertentangan. Satu aliran pro tareqat manakala satu lagi aliran menentang tareqat.

Bagi memahami isu tareqat ini, beberapa persoalan perlu dirungkai dan difahami.

APAKAH MAKNA TAREQAT?

Tareqat adalah perkataan Arab yang boleh difahami sebagai jalan. Oleh itu, orang yang bertareqat adalah orang yang mengikut jalan tertentu. Mungkin kerana itu, disebut sebagai salik bagi orang yang menempuh jalan tareqat.

Apapun, tareqat ini sebenarnya ada kaitan dengan tasawwuf. Tasawwuf adalah satu cabang ilmu bagi membersihkan hati daripada sifat mazmumah (tercela) dan menghiasinya dengan sifat mahmudah (terpuji). Tasawwuf juga adalah akhlak. Maka jika ada penambah baikan dalam sudut akhlak, maka ia telah bertambah tasawwufnya.

Manakala tareqat pula adalah jalan untuk mengamalkan tasawwuf. Mungkin kerana itu, banyak aliran tareqat yang kesemuanya mempunyai satu tujuan bagi membersihkan diri daripada sifat tercela. Kaedahnya mungkin berbeza antara satu tareqat dengan tareqat yang lain. Mungkin sudut zikir harian, solat sunat, puasa sunat dan seumpamanya.

PENTINGKAH TASAWWUF DAN TAREQAT DALAM DIARI KEHIDUPAN MUSLIM?

Melihat kepada pengertian tasawwuf yang berkaitan dengan akhlak, sudah tentu ia satu perkara yang penting. Nabi s.a.w. sendiri dipuji dalam Quran kerana akhlak yang mulia. Sunnah Nabi s.a.w. menunjukkan baginda s.a.w. sentiasa mengutamakan soal akhlak. Akhlak hati perlu dijaga. Riyak sebagai contoh adalah sifat tercela. Banyak manusia beramal ibadah tetapi bukan kerana Allah, maka di sana tidak wujud keikhlasan. Mungkin ada unsur riyak. Kalau amalan sambil riyak, ia amalan yang sia-sia.

Akhlak zahir juga perlu dijaga. Kalau hati sahaja baik tetapi perangai macam syaitan, ia bukan sifat seorang muslim. Maknanya perlu ada hablum mina Allah wa hablum mina annas (hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia).



KADANG-KADANG WUJUD PERTENTANGAN ANTARA TAREQAT DAN SYARIAT. BAGAIMANA IA BOLEH MENJADI BEGITU?

Syariat adalah hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Sepatutnya dan semestinya tidak ada pertentangan antara syariat dan tareqat. Perumpamaan antara syariat dan tareqat bak laut dan kapal. Syariat adalah laut yang luas. Untuk mengharungi laut, kita memerlukan kapal. Kapal itu ialah tareqat. Oleh itu, sifat kapal mestilah sesuai dengan laut. Maknanya tareqat mestilah selari dan seiring dengan ajaran syariat.

Memang ada ketikanya terjadi pertentangan antara tareqat dan syariat. Kalau begitu, nampaknya inilah antara benih kesesatan apabila kita menyimpang daripada syariat yang diwakili oleh Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Sebab itu, generasi awal Islam dan juga tokoh-tokoh tasawwuf amat menitik-beratkan syariat. Selalu disebut ungkapan bahawa jalan mereka terikat dengan Quran dan sunnah. Sebagai contoh, Imam Syatibi dalam kitabnya al-I’ktisom menukilkan pelbagai riwayat generasi awal tentang kepentingan Quran dan sunnah dalam ilmu tasawwuf. Maknanya sumber tasawwuf sendiri adalah Quran dan sunnah.

Kadang-kadang ada juga yang mendakwa bahawa mereka sudah sampai kepada hakikat. Oleh itu, mereka tidak memerlukan lagi syariat. Amalan solat lima waktu hanya untuk orang biasa sahaja. Bagi mereka, niat solat sudah mencukupi. Puasa pun begitu juga.


Ini dakwaan yang batil lagi sesat. Mana mungkin begitu kerana Nabi s.a.w. sendiri bersolat hingga akhir hayatnya. Nabi s.a.w. sendiri berpuasa fardhu dan sunat. Nabi s.a.w. sendiri pergi menunaikan haji di Makkah. Oleh kerana itu, telah masyhur di kalangan ulama tasawwuf yang muktabar bahawa syariat tanpa hakikat adalah kosong manakala hakikat tanpa syariat adalah batil.

Hakikat ini umpama buah di pokok. Pokok adalah syariat manakala buah adalah hakikat. Mana mungkin wujudnya buah tanpa pokok. Hakikat adalah manifestasi perlaksanaan kedudukan ihsan yang tergambar dalam hadis Nabi s.a.w. bahawa engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihatnya. Jika tidak, maka Allah melihat engkau.




DALAM TAREQAT, ADA KEDUDUKAN SYEIKH YANG DIMULIAKAN. BAGAIMANA PANDANGAN ISLAM DALAM MENILAI SEORANG SYEIKH?

Syeikh dalam tareqat seumpama guru yang membimbing seorang murid. Beliau akan mendidik dan mentarbiyyah seseorang untuk beramal ibadat dengan penuh keikhlasan. Syeikh akan memantau perjalanan muridnya. Secara logik, bolehkah seorang bayi membesar dengan baik tanpa bapanya, bolehkah seorang anak yatim menjadi baik tanpa penjaganya, bolehkah seorang buta berjalan dengan sempurna tanpa penunjuk jalannya?

DIKATAKAN BAHAWA TAREQAT BANYAK DISENARAIKAN SEBAGAI AJARAN SESAT?

Sesat atau tidak bergantung kepada pegangan kepada Quran dan sunnah. Inilah intipati satu sabda Nabi s.a.w. Oleh itu, jika ada pelbagai dakwaan pelik dalam tareqat, maka ia satu bentuk penyelewengan dan kesesatan. Sebagai contoh, ada yang mendakwa bahawa pemimpin tareqat boleh menentukan siapakah yang akan masuk syurga, mengamalkan nikah batin, boleh menangguhkan kematian, hukum-hakam agama boleh digugurkan berdasarkan peningkatan maqam dan sebagainya. Adakah ia bersumberkan Quran dan sunnah?

BAGAIMANAKAH KAEDAH UNTUK MENDALAMI TASAWWUF?

Kesemua ini berbalik kepada soal ilmu dan amal. Ilmu adalah asas utama. Oleh kerana itu, amat perlu bagi seseorang untuk berpegang teguh dengan Quran dan sunnah Nabi s.a.w. untuk memahami kedua-duanya, maka eloklah dibaca dan dikaji kitab-kitab yang muktabar dalam masalah hati ini. Antaranya kitab karya Imam al-Ghazali seperti Minhajul A’bidin (Jalan para hamba) dan Ihya U’lumiddin. Kitab Ihya mempunyai banyak mutiara berharga. Cuma mungkin sedikit kekurangannya daripada sudut hadis yang mana terdapat hadis-hadis yang agak bermasalah. Apapun, kitab ini telah disaring dengan baik oleh Imam al-Iraqi. Maka amat wajar kita membacanya bersama dengan komentar Imam al-Iraqi.

Begitu juga kitab karya Imam Ibnu Qayyim antaranya Madarijul as-Salikin. Ia kitab yang amat bermutu berpandukan Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Setiap permasalahan tasawwuf dihuraikan dengan panjang-lebar oleh tokoh ilmuan ini. Mungkin juga boleh dirujuk buku-buku yang lain.

Asas kedua ialah bagaimana untuk beramal dengan ilmu yang ada. Ini juga bahagian yang paling susah. Ramai antara kita tahu fadhilat solat berjamaah dan solat sunat, tapi berapa ramai yang gagah melakukannya. Ini hanya sekadar contoh.

Asas ketiga ialah bagaimana menjaga diri daripada sifat-sifat tercela dan menghiasinya dengan sifat yang baik. Kalau tiga asas ini dapat dipertingkatkan, maka insyaAllah kita akan mendapat limpahan rahmat Allah s.w.t.

KONKLUSINYA

Nampaknya tareqat adalah daya usaha untuk beramal dengan Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Selagi mana ajaran tareqat selari dengan kedua-duanya, maka ia adalah tareqat yang baik. Jika tidak, maka ia telah menyimpang dari Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Maka antara kewajipan utama kita ialah memahami Quran dan sunnah. Maka kalau ingin bertareqat, mestlah tareqat yang berpaksikan kedua-duanya.

Jom sama2 kite berselawat kepada Rasul Junjungan....Smoga kite semua mendapat syafaat Baginda di akhirat nanti....amin

video

No comments:

Post a Comment