Friday, March 25, 2011
TAFSIRUL QURAN : Surah al-An'am ayat 103
Orang beriman dapat melihat allah pada hari kiamat
Orang-orang yang beriman dapat melihat ALLAH di hari akhirat sahaja sebagai suatu nikmat yang besar lebih besar dari nikmat syurga. Bagaimanapun, golongan muktazilah berpendapat berdasarkan zahir ayat ini bahawa selama-lamanya manusia tidak akan dapat melihat ALLAH sama ada di dunia atau akhirat.
Pendapat ini disanggah oleh Ahli Sunnah Wal Jammah bahawa terdapat bukti yang jelas bahawa manusia yang beriman boleh melihat ALLAH sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran & hadis nabi s.a.w. Firman ALLAH s.w.t yang bermaksud :
“ Pada hari akhirat itu, muka ( orang-orang yang beriman ) berseri-seri. Melihat kepada tuhannya.” ( surah al-Qiyamah : 22-23 )
ALLAH berfirman dan ditujukan kepada golongan yang kafir bermaksud :
“ Jangan lagi mereka berlaku demikian ! ( kalau tidak ), mereka pada hari itu, tetap terdinding daripada rahmat Tuhannya.” ( surah al-Mutaffifin : 15 ).
Berkata Imam Syafie bahawa ayat ini menunjukkan bahawa tidak ada pendinding antara ALLAH dan orang-orang yang beriman. Mereka boleh melihat ALLAH di hari akhirat.
Sementara hadis pula yang diriwayatkan secara mutawatir oleh sahabat-sahabat nabi s.a.w menjelaskan bahawa baginda s.a.w bersabda yang bermaksud :
“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman akan melihat ALLAH pada hari akhirat. Mereka dapat melihat ALLAH di taman-taman syurga yang menjadi tempat tinggal mereka yang kekal abadi”
Sementara dalil bagi menjelaskan kenapa orang-orang yang tidak dapat melihat ALLAH di dunia ialah sebagaimana peristiwa yang berlaku kepada Nabi Musa as. Diceritakan bahawa ketika Nabi Musa meminta kepada ALLAH untuk melihat Zat-Nya lalu ALLAH berfirman yang bermaksud :
“ Wahai Musa, sesungguhnya kamu tidak akan dapat melihat Aku ketika kamu hidup di dunia melainkan kamu mati “
ALLAH berfirman lagi yang bermaksud :
“ Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang telah Kami tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa merayu dengan berkata “ Wahai Tuhanku ! Perlihatkanlah kepadaku Zat-Mu yang Maha Suci supaya aku dapat melihat-Mu”
ALLAH berfirman :
“ Engkau sekali-kali tidak akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku “
Setelah Tuhannya “ Tajalla “ yakni menzahirkan kebesaran-Nya kepada gunung itu, maka “ Tajalli-Nya “ menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia :
“ Maha Suci Engkau wahai Tuhanku, aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang pertama beriman pada zamanku “ ( Surah al-A’raf : 143 )
Itulah kisah yang berlaku kepada Nabi Musa a.s membuktikan bahawa Zat ALLAH tidak akan dapat dilihat di dunia ini oleh sesiapa pun. Melihat ALLAH adalah nikmat besar yang diperolehi hanya orang-orang yang beriman, tidak dinikmati oleh manusia lain di akhirat kelak buat selama-lamanya. Seterusnya ALLAH berfirman lagi yang bermaksud :
“ Dan Dialah Yang Maha Halus dalam melayan hamba-hamba-Nya dengan belas kasihan, Lagi Maha Mandalam Pengetahuan-Nya” ( Surah al-An’am : 103 ).
Dialah juga Tuhan yang Maha Mengetahui hal ehwal hamba-hamba-Nya dalam apa jua keadaan sekalipun. Tidak aka nada satu pun perbuatan manusia itu yang akan terlepas daripada ALLAH s.w.t.
Justeru itu, setiap manusia mestilah menyedari siapakah sebenarnya Tuhan yang wajib disembah dan tidak dipersekutukan dengan-Nya akan sesuatu pun. Nikmatilah iman dengan menjadi hambanya yang sentiasa taat kepada perintah-Nya…..
Wallahu’allam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment