Friday, March 18, 2011
Kursus Meneroka Rahsia Diri - " Mencari Redha Ilahi "
Bismillahiwa'ala barokatillah wa'ala rasulillah
Dalam kehidupan, manusia menghadapi pelbagai masalah yang datang dalam pelbagai bentuk. Masalah menimbulkan banyak konflik; Konflik diri, rumahtangga, organisasi, masyarakat dan sebagainya. Namun, manusia tidak boleh lari dari masalah kerana dunia ini sememangnya tempat ujian.
Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang tidaklah menurunkan hambaNya ke dunia ini tanpa diberikan persediaan. Malah hamba itu dilengkapkan dengan pelbagai kelebihan. Ia perlu berusaha dan berikhtiar untuk membina kehidupan yang terbaik, namun perlu pula redha atas apa sahaja takdir Allah ke atasnya. Ujian bukanlah 'musuh' tetapi suatu kaedah tarbiyah (didikan) daripada Allah untuk meningkatkan jiwa dan pemikirannya. Soalnya, bagaimana persepsi seseorang terhadap setiap masalah yang mendatanginya? Jika tersilap pandang, maka ia akan sukar menerima keadaan tersebut dan akibatnya ia tertekan (stress), yang akhirnya menimbulkan pelbagai mudarat terutamanya dari sudut kesihatan. Menurut kajian, 70 % punca penyakit adalah disebabkan stress.
Kegagalan menangani hal ini secara berkesan bukan sahaja membawa kerugian pada individu seperti hilang ketenangan, kebahagiaan hidup, kesihatan terganggu, lemah daya fikir, kemurungan dan sebagainya, malah turut memberi kerugian terhadap organisasi seperti penurunan produktiviti dan mutu kerja, masalah disiplin, sifat amanah, keharmonian organisasi dan sebagainya.
RAHSIA ILMU DAN AMALAN KHAZANAH ULAMA
Alam Melayu dan Nusantara kaya dengan tokoh-tokoh ulamanya yang suatu ketika dulu berperanan besar dalam membina masyarakat. Para Ulama silam ini telah mempusakakan kita pelbagai ilmu dan permata berharga untuk mencapai kehidupan yang diredhai Allah.
Pusaka yang ditinggalkan dalam bentuk ilmu dan pengamalan itu telah terbukti berjaya memurnikan tauhid manusia yang membawa kepada kesucian akhlak dan pembukaan matahati (sehingga mencapai martabat ihsan seperti sabda Rasulullah SAW:
"(Ihsan itu ialah) Sembahlah Allah seolah-olah kamu melihatNya (musyahadah), jika kamu tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihat kamu (muraqabah)."
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
Para ulama ini bukan sahaja alim dalam ilmu agama semata-mata, malah mereka jua memiliki ilmu sains manusia yang tinggi. Mereka menggali rahsia alam dan rahsia diri manusia dengan panduan Al-Quran dan as-Sunnah serta mata hati yang bersinar tajam. Banyak ilmu dan amalan mereka suatu ketika dulu tidak dapat difahami rahsianya secara saintifik, tetapi kajian sains moden membuktikan ianya amat menepati hukum alam dan sains manusia. Malahan, amalan tafakur yang diajar mereka turut diamalkan oleh orang-orang Barat (dengan pelbagai kaedah dan nama), dan telah terbukti berjaya membantu meningkatkan tahap kesihatan diri, ketenangan hidup, penyembuhan penyakit, menghilangkan stress, meningkatkan IQ dan sebagainya. (sumber : artikel majalah dan internet)
KURSUS MENEROKA RAHSIA DIRI
Kursus ini, walaupun baru berusia hampir 5 tahun namun mempunyai sejarah yang agak panjang. Sudah tentu ilmu seperti ini jarang dibincangkan secara terbuka kerana ia boleh mengundang salah faham dan fitnah. Walhal, asas yang dibincangkan adalah perkara fardhu 'ain, merujuk kepada ilmu Ihsan, ilmu Akhlak atau juga disebut ilmu Tasawuf.
Ilmu ini adalah ilmu penyucian hati dari sifat-sifat mazmumah, ilmu untuk menjernihkan tauhid dari sebarang anasir syirik, ilmu bagaimana mengecapi kemanisan iman dan ibadah, ilmu memperolehi khusyuk, ilmu yang mendatangkan akhlak mahmudah seperti redha, syukur, tawakal, sabar, qanaah dan sebagainya.
Maka yang menjadi punca kerosakan dan konflik diri manusia adalah kerana nafsu amarah yang bersarang dalam hatinya. Nafsu ini perlu disucikan sehingga ia mencapai lawwamah, mulhimah dan sekurang-kurangnya mutmainnah, barulah ia beroleh limpahan cahaya hakiki dari Allah dan diredhai-Nya.
Untuk sampai ke peringkat ini, maka wajiblah mencari kaedah pengamalan yang dapat menyucikan nafsu itu. Hanya dengan amalan akan dapat memecahkan tembok-tembok yang menghijab seseorang itu dari menerima hidayah dan cahaya kebenaran. Ia akan dapat mengenal hakikat dirinya, hakikat kehambaan, hakikat ubudiah, tipudaya kehidupan dan lain-lainnya. Apabila ia beramal, hati akan makin bercahaya dan akan terang pada penglihatan mata hatinya kenyataan KeTuhanan seperti mana yang dinyatakan Allah :
"Maka di mana sahaja kamu menghadap, di situlah Wajah Allah..." (Al-Baqarah: 115) dan ayat
"Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya..."
(Qaf: 16).
Apabila insan itu sudah kembali kepada hakikat kesucian ruh yang sebenar-benarnya, nescaya kehebatan-kehebatan duniawi akan datang dengan sendirinya. Tenaga rohani yang terlimpah padanya dapat digunakan untuk pelbagai tujuan. Namun ianya tidak akan dapat diperolehi jika disertakan dengan kejahilan dan kesombongan diri. Inilah ilmu rahsia yang tidak akan dapat dicapai oleh orang-orang yang bukan Islam, dan paling penting cahaya rohani itu akan memimpinnya ke jalan yang haq dan menyelamatkannya dari tipudaya halus-halus dalam batinnya.
Wallahu'allam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Assalamualaikum sahabat
ReplyDelete30/10/2016 kak akan sertai seminar MRD di melaka. Pertama kali. Temui blog sahabat tatkala kak mencari cari suatu info yg berkaitan dgn team MRD ni.
Sekadar mgerti sesuatu sebelumm mengenali sesuatu.innsyaAllah semuga lebih mudah berlapang dada ssaelepas mengerti latarbelakangnya. Sahabat yg dirahmati ALLAH tolong doakn kak.
Semuga pertemuaan di melaka dgn guru2 n sahabat2 yg terpilih bisa memberi sedikit pencerahan utk sebahagian persoalan diri sbgai hamba yg fana ni yang jawapannya seolah maseh dlm persoalan.
InnsyaAllah jika kita memang bergerak dlm paksi yg sama dlm jihad ALLAH, kak pasti menemui sahabat di persimpangan RAHMATNYA.
JazakaALLAH khairan katira.
Assalamualaikum sahabat
ReplyDelete30/10/2016 kak akan sertai seminar MRD di melaka. Pertama kali. Temui blog sahabat tatkala kak mencari cari suatu info yg berkaitan dgn team MRD ni.
Sekadar mgerti sesuatu sebelumm mengenali sesuatu.innsyaAllah semuga lebih mudah berlapang dada ssaelepas mengerti latarbelakangnya. Sahabat yg dirahmati ALLAH tolong doakn kak.
Semuga pertemuaan di melaka dgn guru2 n sahabat2 yg terpilih bisa memberi sedikit pencerahan utk sebahagian persoalan diri sbgai hamba yg fana ni yang jawapannya seolah maseh dlm persoalan.
InnsyaAllah jika kita memang bergerak dlm paksi yg sama dlm jihad ALLAH, kak pasti menemui sahabat di persimpangan RAHMATNYA.
JazakaALLAH khairan katira.