Pages

Wednesday, March 30, 2011

Permasalahan wanita : Darah Nifas



Darah nifas ialah darah yang keluar selepas melahirkan anak. Dinamakan nifas kerana ia keluar selepas keluarnya satu jiwa ( nafs ) dan perempuan yang mengeluarkan darah ini digelar nufasa’.

PEMBAHAGIAN NIFAS
Nifas dibahagikan kepada 3 bahagian berdasarkan kepada warnanya :

1) Nifas Rubra ( Lochia Rubra )
Iaitu darah nifas yang keluar selama kira-kira 3-5 hari selepas bersalin. Ia warna merah kehitaman dan sangat pekat kerana kandungan darahnya masih banyak.

2) Nifas Serosa ( Lochia Serosa )
Iaitu darah yang keluar pada tempoh ini berwarna perang atau merah jambu. Ia mengandungi eksudat ( exudates ) atau lelehan, erythrocytes iaitu sel darah merah matang, leukosit ( leucocytes ) dan mucus serviks. Tempoh ini berlangsung sehingga hari ke-10.

3) Nifas Alba ( Lochia Alba )
Iaitu darah nifas yang bertukar menjadi agak putih atau kuning cair. Ia keluar pada minggu ke-3 atau ke-6 selepas kelahiran, iaitu di penghujung tempoh nifas. Darah yang keluar pada waktu ini mengandungi sedikit sel darah merah, selain campuran bahan-bahan lain seperti leukosit ( leukocytes ), sel-sel epithelium, kolestrol, lemak dan mukus.



TEMPOH NIFAS

- Tempoh paling singkat ialah satu lahzah ( seketika sahaja )
- Tempoh biasa ialah 40 hari
- Tempoh paling lama ialah 60 hari
# sekiranya masih ada darah yang keluar selepas tempoh 60 hari, ia dianggap sebagai darah penyakit atau istihadhah dan perempuan tersebut sudah boleh menjalankan ibadah-ibadah wajib seperti solat fardhu dan puasa.

PERKARA YANG HARAM DILAKUKAN KETIKA NIFAS

Para ulama sepakat bahawa darah nifas adalah sama dengan haid. Oleh itu, semua hukum yang berkaitan dengannya adalah sama iaitu :

- Solat
- Tawaf
- Puasa
- Jimak
- Menyentuh, membawa dan membaca al-Quran
- Duduk di dalam masjid

TEMPOH NIFAS WANITA YANG MELAHIRKAN ANAK KEMBAR

Tempoh nifasnya dikira daripada kelahiran anak yang terakhir dan bukannya anak yang pertama. Ini bererti walaupun selang masa kelahiran anak yang pertama dan terakhir adalah lama, masa nifas tetap dihitung sejak kelahiran anak yang terakhir. Darah yang keluar pada kelahiran yang pertama dianggap sebagai darah haid sekiranya kebiasaan haidnya begitu. Jika tidak, ia dianggap sebagai darah istihadhah.

NIFAS WANITA MELAHIRKAN ANAK SECARA PEMBEDAHAN

Berdasarkan tujuan perubatan, wanita seperti ini juga boleh keluar darah melalui jalan biasa ( faraj ) walaupun pembedahan dilakukan di bahagian perut. Oleh itu, fuqaha sepakat menyatakan sekiranya seorang wanita mendapati darah pada farajnya selepas melakukan pembedahan untuk mengeluarkan anak, ia dianggap sebagai darah nifas. Tetapi, jika selepas pembedahan ini, tidak ada darah yang keluar, maka ia dianggap bersih.
Wallahu'allam...

No comments:

Post a Comment