Pages

Tuesday, March 29, 2011

Besarnya fadilat ZIKRULLAH !!!


Wajah mereka tenang. Biarpun bentuk fizikal mereka berlainan, pakaian mereka berbeza dan darah keturunan mereka pelbagai, namun cahaya wajah mereka adalah seakan-akan sama.

Hari itu mereka sama-sama mendengar sabda Rasulullah s.a.w dengan penuh khusyuk. Setiap patah perkataan yang terlontar dari mulu Nabi s.a.w yang ‘mubarak’ disambut dengan penuh takzim oleh hati mereka. Hari itu Rasulullah s.a.w bercerita tentang syurga dan ahlinya.

Muaz bin Jabal r.a terpegun apabila mendengar Rasulullah s.a.w menjelaskan, :

“ Tidak sesekali ahli syurga merasai rasa kesal, melainkan tatkala mereka teringat pada saat-saat dalam kehidupan dunia mereka yang telah berlalu tanpa berzikir kepada ALLAH Taala! “

Aisyah r.ha dan Abu Hurairah r.a juga terkesan sama dengan perkhabaran ini.
( Ilustrasi daripada hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani, dan al-Baihaqi daripada Muaz bin Jabal r.a Ibn Abid Dunya daripada ‘Aisyah r.ha, demikian juga daripada Abu Hurairah r.ha. Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim turut meriwayatkannya ).

Riwayat di atas menjelaskan tentang fadilat zikrullah atau berzikir kepada ALLAH. Betapa besar fadilatnya, hingga ahli syurga yang telah bersenang lenang menikmati kemewahan syurga pun masih timbul rasa kesal mereka apabila teringatkan sisa-sisa mereka di dunia yang telah mereka bazirkan tanpa zikrullah.

Fadhail sebenarnya ialah bentuk kata jamak kepada perkataan Arab “ fadhilat “. Perkataan ini telah dimasukkan ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu dengan ejaan “ fadilat “. Menurut Kamus Dewan, fadilat ertinya kemuliaan, ketinggian, dan kelebihan dalam beribadah .




Al-Quran sendiri dipenuhi dengan ayat-ayat yang menyentuh tentang fadilat sesuatu perkara. Begitu juga dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Fadilat ini merujuk kepada ganjaran dan pahala mahupun kesan kepada sesuatu amalan atau perkara yang dilakukan.
Contoh ayat al-Quran yang menyentuh tentang fadilat iman dan amal secara umum ialah firmah ALLAH yang bermaksud :

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu yang serba mewah. Mereka kekal di dalamnya, dan tidak ingin berpindah daripadanya.”

( Surah al-Kahfi ayat 107-108 )

Dalam Tafsir Adhwa al-Bayan dinyatakan, bahawa di dalam ayat ini ALLAH s.w.t menyatakan bahawa iman dan amal soleh itu adalah sebab kepada sampainya seseorang itu ke syurga Firdaus yang disediakan ALLAH kepada hamba-Nya. Ini jelas menunjukkan bahawa fadilat kepada iman dan amal soleh yang diterima oleh ALLAH ialah dapat memasuki syurga-Nya.

Pada tempat yang lain pula, ALLAH Taala memberitahu kita fadilat seseorang yang istiqamah dalam mengagungkan ALLAH, menyeru manusia kepada ALLAH atau Da’wah Illallah dan teguh mempertahankan seruan dan percakapannya.

“ Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinan dengan berkata : ‘ Tuhan Kami adalah ALLAH ‘, kemudian mereka tetap teguh di atas perbicaraan mereka itu, maka turunlah malaikat kepada mereka dari masa ke semasa dengan memberi ilham : ‘ Janganlah kamu bimbang dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadapmu, dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. ‘ Kamilah penolong-penolong kamu dalam urusan dunia dan pada hari akhirat, dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang diingini oleh nafsumu, serta kamu akan beroleh pada hari itu, apa yang kamu cita-citakan untuk mendapatnya. (Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan daripada ALLAH Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ! Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru yakni mendakwahnya kepada mengesakan ALLAH dan mematuhi larangan-Nya, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata : ‘ Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam yang berserah bulat-bulat kepada ALLAH ! “

( Surah Fussilat ayat 30-33 )

Bagi mereka ini, berhaklah kepada mereka untuk mendapat fadilat yang besar di sisi ALLAH (ringkasan Tafsir Fi Zilalal-Quran) antaranya :
- Persahabatan dengan para Malaikat
- Kesetiaan dan kasih sayng Malaikat kepada mereka
- Jaminan ketenangan hati
- Pengurniaan syurga Jannah buat mereka
- Dakwah ialah perbicaraan terbaik di muka bumi ini.

So, sesungguhnya fadilat dan tabsyir yang sebeginilah yang telah membentuk keimanan dan misi peribadi Rasulullah s.a.w bersama para sahabat….
Wallahu’allam...

No comments:

Post a Comment