Pages

Tuesday, May 17, 2011

Memerangi Pemikiran ‘ Sekularisme ‘


Daripada Tamim al-Dari, sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud :

“ Agama itu adalah nasihat “

Kami para sahabat bertanya :

“ Untuk siapa ??? “

Baginda bersabda :

“ Untuk ALLAH, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin umat Islam dan seluruh kaum Muslimin “
( Riwayat Muslim )

Sedar atau tidak umat Islam sudah lali dengan sesuatu yang kononnya dianggap lebih baik daripada Islam. Islam yang sepatutnya menjadi ‘ way of life ‘ kini ditinggalkan dan kita sibuk mencari jalan hidup lain yang berbeza yang kononnya lebih canggih dan moden.

Sekalipun baunya sangat menyengat iman dan nurani, kita telah lali bahkan sudah tidak ambil peduli. Ia umpama racun yang menjadi ubat, umpama dadah yang terpaksa diambil untuk mengubati ketagihan. Inilah sekularisme. Sesuatu yang tidak lagi dianggap bahaya, meskipun kehadirannya telah meruntuhkan sebuah tamadun besar seperti khilafah Uthmaniyyah, kerajaan Islam negara-negara Arab seperti Mesir, Arab Saudi dan merosakkan pasak bagi pembangunan umat Islam.

MENGANGKAT MARTABAT ILMU ???

Para cendekiawan Islam telah banyak menyelidik dan mengkaji tentang ideologi ini. Tapi kebanyakan kajian hanya tinggal coretan dakwat di atas kertas tanpa tindakan. Sekalipun mereka maklum akan rosaknya ideologi ini, kita sebagai umat Islam tidak mampu bertindak. Maka tidak salah jika dikatakan bahawa sekularisme sudah menjadi duri dalam daging kepada umat Islam. Kedatangannya tidak dijemput bahkan tidak dialu-alukan langsung, namun kini kedudukannya berada pada tingkat paling atas selain Pluralisme dan Hedonisme, bahkan dihias molek agar kelihatan indah.

Dari mana datangnya ideologi ini ???

Sekular dalam bahasa Arab disebut sebagai al-‘ilmaniyyah, diambil daripada perkataan ilmu. Dari segi syarak ia bermaksud mengangkat martabat ilmu, maka ia sama sekali tidak bercanggah dengan Islam yang semmengnya mengangkat martabat dan kepentingan ilmu. Bahkan sejak awal lagi Islam menyeru kepada ilmu dengan turunnya wahyu pertama.
Namun hakikatnya, perkataan sekular yang diterjemahkan sebagai al-‘ilmaniyyah tidak
lain hanyalah sati tipu helah yang berselindung di sebalik slogan ilmu.

Tokoh pemikiran Islam, Prof Dr, Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut mengenai sekularisme. Beliau menulis bahawa makna tersirat bagi pengertian sekular ini ialah al-ladiniyyah ( tanpa agama ) atau al-la’aqidah ( tanpa aqidah )....Na’uzubillah !!!


Sesungguhnya ini merupakan tipu daya yang sangat zalim. Jika dalam sebuah peperangan, kita dapat melihat siapa yang membunuh dan siapa yang terbunuh, namun dalam ghazwah al-fikr ( perang pemikiran ) ini, kita tidak tahu siapa ‘pembunuhnya‘. Akibat daripada peperangan ini, umat Islam menjadi ‘ mati ‘ iman dan aqidahnya secara separa sedar ( mengikut bahasa psikologi ).

Sangat menyedihkan apabila kita mengetahui ramai antara para cendekiawan Islam sendiri bertindak separa sedar dengan memperjuangkan sekularisme dengan belutan yang indah. Hasilnya, ramai yang tergelincir ke jurang kesesatan.
Jika benar sekularisme mengangkat martabat ilmu, mengapa ‘ masyarakat yang berilmu ‘ ini semakin ketandusan akhlak dan aqidahnya ???
Jika pada zaman jahiiliah, anak perempuan ditanam hidup-hidup, zaman ini pula janin dan bayi yang tidak berdosa dibuang tanpa mengira tempat, ibarat membuang sampah yang todak berguna. Apakah ini kebaikan yang tercetus daripada sekularisme ???

ASAL-USUL SEKULARISME

Sekularisme tercetus ketika pihak gereja Eropah mengongkong masyarakat dan bertindak menyekat perkembangan sains dan ilmu pengetahuan kerana khuatir masyarakat akan memberontak dan menjatuhkan kekuasaan gereja apabila mereka menguasai ilmu pengetahuan. Selain mengongkong, pihak gereja juga menguasai segala tindak-tanduk pengikutnya dengan meletakkan keputusan-keputusan penting di tangan pihak gereja dan mengaut keuntungan daripada penganut agama mereka dengan cara yang salah.

Masyarakat Eropah berasa tertekan dan tertindas dengan tindakan yang dilakukan oleh pendeta mereka itu. Bagi mengatasi kezaliman tersebut, maka terjadilah pemisahan antara agama ( Kristian ) dan kehidupan kerana doktrin ( pemikiran ) gereja tidak dapat menerima ilmu pengetahuan dan sains sebagai sebahagian daripada cara hidup mereka. Para pejuang sekular akhirnya menyebarkan fahaman sekular ini agar masyarakat keluar daripada kepompong gereja yang begitu mengikat serta menindas mereka. Mereka merasakan bahawa jika mereka terus-menerus berada di bawah kekuasaan gereja, maka kemajuan dalam kehidupan tidak dapat dicapai.

Setelah itu, tercetuslah ideologi sekularisme, iaitu fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan, ketuhanan atau gereja tidak harus dicampur dengan urusan negara, politik dan pentadbiran. Ringkasnya, ia adalah fahaman yang memisahkan antara urusan dunia dan urusan agama.

Seterusnya, penguasa Eropah berusaha pula menyebarkan ideologi ini ke Timur dalam misi penjajahan ke atas negara-negara tersebut. Pada mulanya, masyarakat Timur yang telah menerima Islam menolak fahaman ini. Namun para mubaligh Kristian yang dihantar untuk menyebarkan misi ini tidak pernah berputus asa, malah mereka berusaha mempelajari adat dan kebiasaan masyarakat Timur sehinggalah mereka berjaya menguasai hati penduduk-penduduk di Tanah Melayu khususnya.

Hasilnya, ramailah pedagang yang hilang kejujuran kerana mementingkan keuntungan, para pendidik yang hilang sifat kasih sayang, akhlak yang seharusnya menjadi batas antara kebaikan dan keburukan telah dilupakan, hingga akhirnya kerajaan Islam jatuh satu-persatu setelah termakan pujuk rayu para penjajah.


ADA DI MANA-MANA ???

Kepada pembaca yang budiman, bukalah mata lebar-lebar dan saksikanlah kini sekularisme berada di mana-mana. Dalam undang-undang, hukum Islam kini hanya diguna pakai untuk skop yang sangat kecil seperti hal nikah kawin dan tuntutan cerai. Tidak ada lagi hukum jenayat dan hudud yang sepatutnya menjadi teras dalam undang-undang sebuah negara Islam. Lihat sahaja bagaimana keadaan Mesir setelah mengalami pensekularan dari Barat. Negara yang telah melahirkan ratusan ribu ulama itu mengalami kemunduran setelah memisahkan urusan negara dan agama. Maka tidak hairanlah rakyat mereka bangkit memberontak.

Bukankah umat Islam ialah umat terbaik ???

Setidur-tidur singa ia akan bangkit mengaum ketika lapar. Keadaan umat Islam kini ibarat singa kelaparan yang bangkit mencari makan. Kita telah lama haus dan lapar dengan Islam, kini rasa lapar tersebut telah menyedarkan kita daripada lena yang panjang.

Dalam sistem pendidikan juga banyak berlaku kerosakan akibat daripada anasir-anasir yang berbau sekular. Misalnya percampuran antara lelaki dan perempuan ( ikhtilat ) di peringkat institusi pengajian tinggi dan sebagainya.

Dalam media massa pula, penyebaran sekularisme sudah tidak dapat dibendung lagi. Media sepatutnya menjadi medium mendidik masyarakat kini tanpa sedar telah menjadi agen penyebaran virus kerosakan akhlak dan moral.

Masyarakat menerima bulat-bulat apa yang disampaikan media dan tercetuslah pelbagai gejala sosial yang diinspirasikan oleh apa yang ditonton dan didengar. Maka tidak hairanlah, anak-anak zaman kini sangat cepat belajar mengenal hal-hal yang berhubungan dengan percintaan, hubungan lelaki dan wanita bahkan sudah hilang perasaan malu dan lain-lain sifat mulia.


KEMBALILAH KEPADA ISLAM

ALLAH berfirman yang bermaksud :

“ Wahai orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara berterusan dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu “
( Surah al-Baqarah 2: 208 )

Wahai kengkawanku sekalian,
Islam sama sekali tidak membenarkan penyebaran fahhaman sekularisme ini apatah lagi sehingga memisahkan agama dan kehidupan. Satu salah faham yang besar apabila ada umat Islam yang memahami bahawa Islam hanya menguruskan urusan aqidah dan sekularisme pula mengatur urusan-urusan kehidupan. Pemisahan antara agama dan kehidupan tidak dapat diterima oleh Islam kerana Islam merupakan sebuah agama yang sempurna dan telah mengatur semua hal berkenaan kehidupan. Dalamnya telah terkandung aqidah dan syariat sekaligus. ALLAH s.w.t telah menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang diredhai oleh-Nya hanyalah Islam. Selamilah firman-Nya yang bermaksud :

“ Sesungguhnya din ( agama ) yang diterima di sisi ALLAH hanyalah Islam “
( Surah Ali-‘Imran 3: 19 )

Memetik kata-kata daripada al-Marhum Syeikh Mutawwali al-Sya’rawi sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir :

“ Sedarilah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara yang hak dengan yang hak, tetapi pertembungan hanya berlaku antara hak dengan yang batil “

Maka umat Islam perlulah mengikut yang hak ( kebenaran ) dengan menurut segala perintah ALLAH s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya. Untuk mengetahui yang mana hak dan batil menurut pandangan syarak, maka al-Quran dan sunahlah sumber primer sebagai panduan. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus peratus ajaran Islam.

Melihat kebangkitan umat Islam saat ini, kita harus optimis bahawa sekularisme telah menghampiri ‘ kematiannya ‘ dan juga ‘ isme-isme ‘ lain yang tidak selari dengan Islam. Waktu itu kita akan mengorak langkah dengan penuh yakin dan bangga bahawa Islam agamaku, al-Quran pedomanku, Muhammad s.a.w telandanku, syahid cita-citaku dan ALLAH s.w.t tujuanku. ALLAHUAKBAR !!!


Artikel ini dipetik daripada ubahsuai Ustazah Ummu Sakinah yang diambil beliau daripada kitab Mauqif al-Islam min al-Tayyarat wa al-Mazahib al-Mu’asarah karangan Prof Dr. Taha Abd al-Salam Khudhair dan Prof Dr. Hasan Muharram al-Sayyid al-Huwaini, pensyarah Jabatan Aqidah dan Falsafah, Kuliyyah Usuluddin Universiti al-Azhar, Mesir.

No comments:

Post a Comment