Sunday, October 30, 2011
HIMPUNAN SEJUTA UMAT : Jangan hanya ‘BERKOBAR’ di stadium, tp………..
Bismillahiwa’ala barokatillahi wa’alarosulillah…………
Akidah merupakan persoalan utama dalam Islam. Ia berkaitan antara hati dan keimanan terhadap ALLAH s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Justeru, menyelamatkan akidah umat Islam amat penting dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak tanpa membezakan parti politik dan fahaman. Dalam membahaskan mengenai persoalan akidah umat Islam, kita pasti tidak dapat lari daripada menjawab permasalahan ‘Murtad’.
Sejarah Murtad
Murtad bukanlah suatu perkara yang baru bagi penganut agama tauhid. Tahukah kita, makhluk pertama yang memulakan budaya murtad ini, tidak lain tidak bukan ialah Iblis ketika peristiwa keenggannya ( Iblis ) mematuhi perintah ALLAH supaya sujud kepada Adam a.s. Ekoran itu, Iblis memohon daripada ALLAH supaya membenarkanya untuk memurtadkan seluruh keturunan Adam a.s dan ALLAH memberi laluan setakat kemampuan Iblis dengan izin dari ALLAH.
Setelah itu, budaya murtad mula berlaku dalam sejarah manusia sejak zaman Nabi Nuh, Nabi Ibrahim sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun Rasulillah s.a.w telah berjaya menyempurnakan agama Islam pada zaman Baginda, tetapi budaya murtad tetap berlaku di dalam masyarakat Islam ketika itu . Jika difikirkan secara logik, kalau pada zaman Rasulillah yang penuh aman & masyarakatnya yang sangat beriman kepada ALLAH pun masih berlaku budaya murtad, maka tidak mustahil pada zaman kini juga berlaku dan mungkin lebih teruk ‘virus’ murtad tersebut kerana didokong oleh penguasaan golongan-golongan jahil agama dan munafik yang diangkat menjadi pemimpin.
Senario Murtad di Malaysia
Sejak 54 tahun tahun lalu, gejala murtad ini telah menjadi semakin berleluasa di segenap lapisan masyarakat. Bermula daripada remaja-remaji belasan tahun sehinggalah kepada golongan warga emas, seruan dakyah pihak-pihak tertentu bagi memurtadkan masyarakat orang Islam semakin menunjukkan taring dengan pendedahan sendiri wakil agama Kristian yang mendakwa bahawa mereka semakin mudah mendapatkan ahli baru dari kalangan orang Islam sejak 10 tahun kebelakangan ini.
Ini ditambah pula dengan kelulusan oleh pihak pemerintah yang membenarkan pembinaan sebuah gereja terbesar Asia di Bukit Jalil yang sekaligus menjadi bukti mengapa dakyah orang-orang Kristian sangat mudah bertapak di negara ini.
Gereja Calvary yang dipercayai menelan kos sebanyak 135 juta ringgit itu ketika ini sudah mencapai fasa terakhir dan sudah melebihi tahap 70 peratus siap dibina selain dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.
Gereja Calvary yang dilengkapi kemudahan serba moden itu juga dilihat mempunyai pengaruh-pengaruh pergerakan Yahudi iaitu Freemason dan Iluminati sekaligus membuktikan bukan hanya dakyah Kristian yang semakin tersebar, tetapi pengaruh Yahudi juga sudah semakin menular ke dalam Negara ini. Persoalannya kini, apakah usaha yang telah dilakukan oleh pihak berwajib ( pemerintah ) dalam membendung ‘virus’ ini ???
Himpunan Sejuta Umat
Trend memurtadkan umat Islam telah bermula sejak sekian lama. Bukti-bukti laporan yang diserahkan kepada pihak pemerintah mengenai ‘virus’ murtad ini dilihat seolah-olah lepas tangan sahaja, padahal segala laporan tersebut diambil daripada kelulusan mahkamah dan jabatan pendaftaran. Tetapi apabila timbulnya isu penangkapan beberapa umat Islam di sebuah gereja baru-baru ini, maka baru kelihatan meletupnya rasa membantah dalam kalangan umat Islam. Mungkin kerana telah lama menahan perasaan meluap-luap di dada, tetapi tidak sampai tahap meletup memungkinkan wujudnya idea mencegah murtad dengan berkumpul beramai-ramai di suatu tempat bagi menyatakan rasa tidak puas hati umat Islam. Tapi, apakah usahanya ???
Ya, dalam menjawab persoalan diatas, kita telah nampak ‘sedikit’ usaha yang dilakukan oleh pihak pemerintah baru-baru ini iaitu dengan mengadakan Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) dengan tema ‘Selamatkan Akidah Umat Islam’ yang bertempat di Stadium Shah Alam. Walaupun tidak mencapai sasaran penyertaan (sejuta rakyat), namun kehadiran beberapa wakil dari pelbagai agensi, pertubuhan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain wakil pelbagai pihak dari parti politik berbeza dalam HIMPUN tersebut menggambarkan masih ada masyarakat yang mengambil tahu mengenai permasalahan agama Islam ketika ini.
Walaupun ada yang mengatakan sudah terlambat kerana sudah begitu ramai masyarakat Islam yang murtad sejak berpuluh tahun lalu, namun permulaan inisiatif seperti ‘perhimpunan raksaksa’ tersebut boleh menjadi bukti bantahan umat Islam kini yang semakin sedar dengan ‘virus’ bahaya ini. Yang paling penting ketika ini ialah, semua pihak mampu mengetepikan segala ideologi dan fahaman masing-masing untuk sama-sama bersatu di atas kalimah syahadah ‘ Lailahaillallah’ yakni tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH.
Cukupkah sekadar HIMPUN ???
Berhimpun bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap gejala murtad ini memang boleh dibanggakan. Namun perlu dinilai kembali, adakah cukup sekadar berhimpun menyatakan bantahan dengan lantang dan keras, tetapi pada masa yang sama ketika di luar stadium pula, masyarakat masih didedahkan dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah ???
Selepas program HIMPUN tersebut, penulis melihat masyarakat masih lagi didedahkan dengan pelbagai sumber yang mendorong kepada kerosakan akidah. Bermula daripada pergaulan bebas remja remaji sehinggalah kepada kebebasan konsert yang cukup melampau. Di sini timbul kembali di mana matlamat HIMPUN tersebut kepada masyarakat ??? Sepatutnya, selepas selesai sahaja HIMPUN tersebut, gerak kerja daripada pihak pemerintah untuk mencegah murtad dan kerosakan akidah umat sudah perlu dilakukan dengan giat dan berstrategi. Langkah-langkah bagi mengukuhkan akidah umat Islam perlu dipergiat kembali bagi menangkis segala hasutan dan cubaan dakyah Kristian yang semakin berleluasa kini.
Pelbagaikan Medium Dakwah
Tidak dinafikan, dalam suasana akidah umat Islam yang semakin kritikal kini, penglibatan pejuang-pejuang Islam amat diperlukan di mana-mana sahaja. Jika As-Syahid Imam Hassan al-Banna berani dan mampu berdakwah di kelab-kelab malam, mengapa pendakwah Islam sekarang tidak cuba untuk mencontohinya ???
Mungkin selama ini mesej dakwah hanya disampaikan melalui kuliah agama di masjid dan surau-surau. Jadi sudah tentulah orang yang sama sahaja yang mendengar kuliah tersebut. Jarang sekali zaman kini anak-anak muda sanggup duduk di masjid selama satu atau dua jam untuk mendengar kuliah agama. Memandangkan begitu, perlu diingat. Dakwah itu bukan hanya terbatas di dalam masjid dan surau sahaja kerana dakwah perlu dilakukan di mana-mana sahaja.
Bercakap soal akidah pula, terlalu banyak yang perlu ditekankan oleh pemerintah. Pertama sekali, jati diri umat Islam itu perlu dilihat dan dinilai kembali sama ada still dengan pegangan tauhid ataupun sebaliknya. Yang jelas, pihak pemerintah perlu memulakannya terlebih dahulu seperti memansukhkan segala konsert-konsert bebas dan berunsur maksiat kepada program hiburan berunsur ketuhanan yang memuji ALLAH. Begitu juga dengan dunia perfileman yang sekarang ini sewenang-wenangnya ‘melepaskan’ filem tanpa meneliti mutu dialog dan lakonan sehingga timbul isu sebuah filem yang dikatakan menghina Rasulillah s.a.w.
Tuntas….
Konklusinya, Syabas kepada pihak penganjur yang berusaha mengadakan program seperti HIMPUN tersebut. Namun perlu diingat, menyelamatkan akidah umat Islam bukan sekadar dengan mengadakan himpunan sejuta atau sepuluh juta umat Islam bagi menggerunkan golongan kuffar. Sebaliknya, usaha tersebut hendaklah lebih daripada itu. Oleh itu, semua pihak, terutamanya PEMERINTAH perlu peka dengan persekitaran semasa yang semakin banyak unsur-unsur dan usaha untuk meruntuhkan tamadun Islam…
Wallahu’allam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment