Pages

Tuesday, November 1, 2011

CETUSAN : Takabbur Membenci DAKWAH ???


Bismillah...
Takabbur secara umumnya bermaksud sombong, bongkak ataupun merasakan dirinya lebih tinggi, lebih baik kedudukannya, lebih berketurunan, lebih elok dan lebih mulia daripada orang lain. Dalam erti kata yang lain, apabila seseorang itu mempunyai sifat Takabbur dalam dirinya, dia akan merasakan yang dia itulah ‘orang’ yang sebenar sementara manusia lain itu adalah sebaliknya.

Manusia bersifat takabbur ini juga secara tidak langsung akan membenci apabila melihat kehidupan golongan-golongan yang ingin menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w seperti membenci orang yang memakai pakaian sunnah sama ada jubah, purdah ataupun mini telekung yang menutup aurat. Mereka akan membenci perjuangan sunnah dan undang-undang yang terdapat dalam Kitabullah ( al-Quran ). Selain itu, mereka juga akan membenci apabila melihat manusia lain membangunkan ibadah-ibadah fardhu dan sunat, membenci pada pergerakan dakwah Islam dan segala perkara yang berkaitan dengan Islam. Walaupun begitu, boleh jadi juga, mereka ini masih solat, berpuasa dan juga membuat tahlil arwah, tetapi dalam hati mereka sangat jelas yang mereka sangat membenci segala perkara yang berkaitan dengan Islam.


MENGAPA TERJADI BEGITU ???

Secara jelas dapat diterangkan disini adalah kerana sifat Takabbur tersebut telah menjadi hijab atau pendinding antara dirinya dengan akhlak-akhlak seorang Mu’min. Sebab itulah, manusia yang bersifat takabbur ini pasti kita lihat mereka sangat ‘anti’ dengan segala perkara yang berkaitan dengan Islam. Padahal status agama yang ‘ditampal’ pada kad pengenalan ( IC ) mereka adalah Islam bukannya agama lain. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“ Tidak masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat walau seberat debu dari sifat takabur “
Riwayat Muslim

So, sangat jelas bahawa Rasulullah s.a.w pun telah menyatakan bahawa ‘tahap’ bahayanya sifat takabbur ini kepada umat Islam. Kita lihat sahaja bagaimana Iblis dilaknat oleh ALLAH s.w.t.


APA DOSA IBLIS ???

Penulis beranggapan semua pembaca mengetahui yang Iblis merupakan salah satu makhluk yang paling taat kepada ALLAH s.w.t sebelum penciptaan Nabi Adam a.s. Iblis telah beribadat kepada ALLAH selama berates-ratus tahun tanpa henti sekaligus membuktikan ketaatannya kepada ALLAH s.w.t. Namun, ibadah-ibadah Iblis itu ‘terhapus’ dalam sekelip mata sahaja, oleh sebab dosa ‘TAKABBUR’ yang dilakukan Iblis ketika peristiwa suruhan ALLAH kepadanya supaya menyembah Nabi Adam a.s. Iblis merasakan yang penciptaanya lebih mulia daripada Adam kerana dia dijadikan daripada api sementara Adam dijadikan daripada tanah. Firman ALLAH s.w.t yang bermaksud :

“Ia ( Iblis ) enggan dan takabbur, dan ia termasuk dalam golongan orang-orang kafir “
Al-Baqarah ayat 34

Takabbur telah menyebabkan Iblis dilaknat oleh ALLAH sehingga hari kiamat, walaupun dia telah beribadah kepada ALLAH s.w.t selama bertahun-tahun lamanya dengan penuh taat. Tetapi, oleh kerana sifat takabburnya itu, dia telah dimasukkan k eke neraka sehingga kiamat.


SENARIO HARI INI……..

Kini, arus perkembangan dakwah Islamiah sudah tersebar ke merata tempat. Dimana-mana sahaj jika dilihat, arus perkembangan dakwah Islam sudah wujud di dalam masyarakat. Pendek kata, bilangan manusia yang ingin mendokong cita-cita al-Quran dan as-Sunnah sudah semakin ramai dan sudah berani muncul berdepan dengan masyarakat luar. Mereka kini sudah tidak gerund an gentar apabila berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran kerana mereka percaya bahawa jihad itu bukan satu ‘kesenangan ‘.
Mereka pendakwah tahu, orang yang berjihad di jalan ALLAH bukannya akan mendapat harta tetapi berkorban harta, bukan dapat pangkat tetapi mengorbankan pangkat, bukannya mendapat kemuliaan tetapi mengorbankan kemuliaan, bukannya dapat kemewahan tetapi mengorbankan kemewahan. Ringkasnya, orang yang berjuang dan berjihad sanggup mengorbankan segala-galanya hatta nyawa pun sanggup dikorbankan jika sampai ke tahap memerlukan.

Disebabkan tuntutan jihad sebeginilah, telah lahirnya masyarakat yang mahu kepada Islam dan meyakini bahawa Islamlah penyelesaian kepada segala ‘penyakit’ yang melanda masyarakat ketika ini. Mungkin kita berbangga dengan kemajuan yang kita capai hari ini. Tetapi adakah kita juga berbangga dengan perkara-perkara maksiat yang semakin menular kini ???


Sedarkah kita dengan jenayah yang semakin menjadi-jadi kini seperti rasuah yang semakin banyak, pembunuhan, rogol, zina, dan seks bebas yang berlaku bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Apabila ditanya, majority masyarakat berkata: Ya, saya sangat bimbang dengan situasi masyarakat kini. Namun apabila wujudnya pergerakan dakwah bagi menegakkan Islam, mereka berkata ‘kolot’, ketinggalan zaman dan sebagainya.

SIAPA SEBENARNYA YANG KOLOT ???

Inilah penyakit masyarakat kini yang semakin dibuai mimpi dengan pengaruh-pengaruh material dan hiburan oleh Barat. Mereka telah ‘dibutakan’ mata dan hati dengan pembangunan luaran tanpa pembangunan dalaman ( rohani ). Bagi mereka yang bersifat TAKABBUR, pergerakan dakwah Islam adalah ketinggalan zaman dan tidak maju kerana soal pemakaian, makan-minum dan pergaulan yang dikatakan tidak mengikut trend semasa. Bagi mereka, masyarakat sekarang hendaklah mengikut trend semasa seperti ‘wajib’ bergaul bebas lelaki & wanita, konsert liar sana-sini, memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan sebagainya. Jika tidak, maka ‘kolot’ lah gelarannya.

Namun, tidakkah mereka sedar, penghinaan mereka terhadap segala perkara-perkara berkaitan sunnah itu, seolah-olah mereka telah menghina Rasulillah ??? Mana tidaknya, kerana semua sunnah itu adalah bersumberkan daripada Rasulillah s.a.w. Jika mereka mengeji segala perkara-perkara berkaitan sunnah, mereka secara jelas menzahirkan kepada umat Islam bahawa mereka juga sedang mengeji Nabi !!!.


Sebagai contoh, adakah dengan memakai serban, purdah dan menutup aurat itu dikatakan kolot ???...Padahal pemakaian beginilah yang dapat menghindarkan mereka daripada ‘ghairah ‘ terhadap nafsu syahwat mereka sendiri. Jarang kita dengar wanita berpurdah menjadi mangsa seksual oleh lelaki hidung belang melainkan mangsanya adalah wanita ‘terbuka’. Sepatutnya, pemakaian mendedahkan auratlah yang patut diberi gelaran ‘kolot’ kerana mereka seolah-olah takabbur dan bangga menayangkan ‘body sexy ‘ nya itu kepada khalayak umum. Mereka yang tidak menutup aurat ini seolah-olah ‘ tidak cukup kain ‘ kerana keterterbukan pakaian mereka.

Tuntas……

Konklusinya, sifat benci sebahagian masyarakat dengan usaha dakwah kini adalah bukan hanya disebabkan kejahilan mereka tentang agama, tetapi ia juga berkait rapat dengan perasaan takabbur yang telah melekat di hati mereka. Mereka beranggapan, tidak perlu wujud usaha pergerakan dakwah ini kerana bagi mereka, pergerakan ini hanyalah untuk ‘mengambil tahu tepi kain orang lain’. Ketika inilah akan lebih ketaranya sifat yang menjadi ‘manifestasi’ bagi orang-orang takabbur iaitu menolak kebenaran dan menghina makhluk. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“ Takabbur itu ialah menolak kebenaran dan menghina makhluk “
Riwayat Muslim, Baihaqi, Ahmad dan Tabarani

Maka secara jelas, tercelanya manusia yang takabbur ini di dunia dan akhirat. Semoga kta semua tidak termasuk dan dijauhi sifat ini. Wallahu’allam.

No comments:

Post a Comment