Pages

Tuesday, October 25, 2011

SEPINTAS : Rangkuman penghijrahan artis Malaysia kepada ‘Islamik’


Bismillahiwa’ala barokatillah wa’ala rosulillah……….

Subhanallah…..Industri hiburan tanah air mula menampakkan sinar kejernihan Islam apabila ‘lepas sorang, sorang ‘ lagi artis yang mula berhijrah kepada Islam. Bermula daripada 'IKON' perubahan iaitu Wardina Safiyyah sehinggalah kepada pemakaian tudung oleh Erma Fatima, dunia hiburan negara semakin indah dengan perubahan demi perubahan artis-artis popular. Bagi artis lelaki, kita dapat melihat dengan perubahan kata-kata, pergaulan dan penampilan mereka sementara artis wanita pula dapat dilihat dengan permulaan imej bertudung mereka. Berikutan itu, saya rangkumkan beberapa artis Negara yang telah melakukan hijrah tersebut. Syabas diucapkan !!! Semoga perubahan mereka ini berkekalan dan akan dapat menarik masyarakat terutamanya golongan remaja remaji untuk sama-sama melakukan HIJRAH kepada Islam…


1-Irma Hasmie Ibrahim

Fenomena artis yang kembali ke pangkal jalan merupakan suatu yang sudah tidak asing lagi dalam masyarakat. Sungguhpun begitu, bagi pelakon muda, Irma Hasmie Ibrahim, 29 berpendapat, cabaran utama yang perlu dilalui oleh golongan ini adalah bagaimana cara untuk mereka ‘istiqamah’ dengan perubahan tersebut.

“ Apapun, semuanya bergantung kepada niat asal seseorang itu dalam melakukan sesuatu. Kita perlu meletakkan niat hanya semata-mata kerana ALLAH s.w.t “ tegas Irma

Ujarnya lagi, perubahan dan penghijrahan sering berlaku dalam kehidupan seharian manusia tanpa mengambil kira kedudukan dan populariti menerusi hidayah dan taufik daripada ALLAH s.w.t.


Justeru itu, kata Irma lagi, seseorang artis itu hendaklah sentiasa berdoa kepada ALLAH untuk ditetapkan hati dan menguatkan tekad dalam melakukan penghijrahan proses penghijrahan itu.


2-Catriona Ross

Perubahan positif yang dilihat kepada sebilangan artis mutaakhir ini dalam mendekati Islam, jelas menggambarkan kebangkitan Islam yang kembali kepada fitrahnya. Menurut Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 31, apa yang berlaku merupakan satu fenomena yang terkandung di dalam al-Quran.

“ Ia sangat positif. Saya tumpang gembira dan bersyukur pada sahabat-sahabat artis yang telah ‘kembali’ kerana saya fikir kita sema diciptakan untuk akhirat “ ujar Catriona

Beliau sangat yakin apa yang berlaku ketika ini bukanlah suatu ‘trend’ melainkan ia adalah suatu ‘fenomena’ yang sangat menarik dan sangat baik. Catriona yang terkenal dengan drama Tv Sephia juga menegaskan, untuk melakukan perubahan adalah mudah. Namun untuk mengekalkan perubahan tersebut sangat susah.

“ Untuk itu, saya rasa sambil sambil kita berubah, kita perlu mencari ilmu supaya faham. Pilih sahabat yang baik, menghadiri majlis-majlis ilmu seperti usrah dan banyakkan berdoa agar ALLAH tidak memesongkan hati kita “ ujar Catriona dengan penuh pengharapan


3-Iwan ‘Dangdut’

Sebenarnya faktor ketakutan, ditambah usia yang semakin lanjut dan tidak tahu bila ajal akan tiba, menjadi antara penyebab beliau mula mencari dan mendapat kesedaran Islam, tegas penyanyi, Wan Shahman Mohd Yunus atau dulunya lebih dikenali sebagai Iwan ‘ Dangdut’

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu dangdut Memori Daun Pisang bersama Amalina itu menegaskan, dari kesedaran yang membuak-buak itulah, ALLAH membuka pintu hidayah dan beliau begitu bersyukur dengan nikmat Islam yang dirasai sekarang.

“ Saya sebenarnya gembira kerana ramai yang mahu kembali semula kepada fitrah, kerana ia adalah satu yang diinginkan oleh semua manusia apa yang penting, ia hendaklah dilakukan dengan ikhlas dan menyerahkan kepada ALLAH. Kita berharap apabila diberi hidayah, kita akan terus mencari jalan bagaimana dapat beristiqamah dalam mengamalkan Islam “ tegasnya

Mengulas lebih lanjut, Iwan berharap, artis kembali kepada Islam bukanlah menjadi sekadar ‘trend’ sahaja, kerana trend ini lebih kepada ikutan dan ia hanya bersifat sementara dan akhirnya kembali menjadi seperti asal.Iwan yang pernah memukau dengan lagu irama dangdutnya pada era 80-an dan 90-an berkata, artis yang mahu berubah mestilah mengikhlaskan hati dengan semua yang dilakukan kerana ALLAH dan bukan untuk mencari publisiti semata-mata.

Apabila ditanya apa sebenarnya peranan lagu berbentuk Islam kepada masyarakat, beliau berkata, ianya dapat memberikan suasana yang lebih Islamik dengan lirik yang mengajak masyarakat mengingati ALLAH s.w.t.


4-Aishah

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu, Aishah Ariffin, 46, berharap agar para peminat dan orang ramai dapat memberikan sokongan dan galakan kepada perubahan positif yang dilakukan oleh seseorang artis di negara ini. Ujarnya, walaupun perubahan tersebut perlahan dan tidak bersifat menyeluruh, ia adalah lebih baik daripada tiada langsung.

“ Malangnya ada sesetengah pihak yang cepat menghukum dan member kritikan tidak membina. Kita kena open-minded dan tolong sokong serta bersangka baik dengan perubahan tersebut kerana kita sendiri tidak tahu bagaimana kesudahannya nanti “ tegas Aishah

Beliau mengakui , perubahan positif yang melanda artis tanah air mutaakhir ini memberikan kesan besar kepada masyarakat kerana mereka merupakan figure berpengaruh dan sentiasa jadi perhatian. Aishah melahirkan perkara ini ketika diminta mengulas mengenai ‘ hijrah ‘ beberapa artis kea rah jalan dakwah sejak kebelakangan ini.

“ Alhamdulillah ia merupakan suatu perkembangan baik dan kita lihat artis adalah ‘public figure’ yang menjadi ikutan kerana mereka mempunai peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan mereka “ katanya

Tambahnya, jika baik pengaruh yang dibawa oleh seseorang artis itu maka dia akan beroleh pahala, begitu juga sebaliknya.


5-Bob Lokman

Kerajaan mesti merangka program pemantapan tauhid dan akidah bagi membawa kesearan kepada artis yang tidak mempunyai kesedaran Islam, kata bekas pelawak dan penulis lirik, Mohd hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman. Menurutnya, kebanyakan artis tidak langsung mempunyai pengetahuan tentang tauhid dan inilah yang menyebabkan kebanyakan daripada mereka jauh daripada Islam.

“ Kalau tidak percaya, cuba Tanya mereka ( golonagn artis ) tentang apa itu tauhid ? Kita akan dapati kebanyakan mereka akan menjawab tidak tahu. Sepanjang pengalaman saya, inilah bab yang menyebabkan mereka termenung. Baru-baru ini pun ada komposer yang telefon saya dan kami bercerita tentang topik tauhid dan dia gagal memberikan apa makna tauhid itu “ katanya

Bob Lokman berkata, setiap pekerjaan yang dilakukan juga mestilah kerana ALLAH dan bukan selain daripada-Nya. Jika ia dilakukan kerana benda lain, maka boleh rosak aqidah seseorang itu. Masalah yang berlaku sekarang dakwanya, kerana kerajaan sendiri yang gagal dan enggan membuat program seperti ini kepada masyarakat. Beliau juga menceritakan bagaimana sewaktu ketika dirinya dan beberapa rakan lain datang berdakwah di Uptown Bangi, ketika beliau menyanyi, pengungjung di situ tidak mempedulikannya. Tetapi apabila beliau membuka bab tauhid dan alam barzakh, mereka tertarik dan mula mendengarnya.

“ Mereka melopong dan bila habis majlis, ada yang datang bertanya di mana mereka boleh belajar ilmu sebegini. Saya katakana ilmu sebegini boleh dipelajari daripada ustaz dan mereka kata pergi ke masjid inilah yang leceh “ ujarnya

Katanya, ini kerana golongan yang ada di masjid adalah generasi yang berbeza. Oleh sebab itulah, kerajaan bertanggungjawab mencari jalan bagaimana mereka berminat dikumpulkan di sesuatu tempat. Semenjak beliau berhijrah mengamalkan Islam, keyakinan dan keberanian kepada hidup berbanding dengan keberanian kepada kematian berbeza.

“ Dulu kita takut mati, miskin, tak ada duit, takut susah, tetapi sekarang ini saya mempunyai keyakinan yang hidup ini berada di bawah kawalan ALLAH. Jika dahulu setiap kali saya nak keluar rumah, apabila ada perasaan takut accident, saya tak jadi keluar. Tetapi sekarang ini setiap kali keluar rumah, saya percaya kepada takdir ALLAH sekaligus perasaan takut itu hilang “ jelasnya

Beliau ketika ini merasa lebih berkeyakinan dan hilang perasaan rendah diri kepada sesame manusia walau apapun darjat orang itu. Malah dakwanya juga, semenjak berhijrah kepada Islam sepenuhya, penyakit darah tinggi yang dialaminya juga jarang menyerang kerana merasa ketenangan jiwa.


6-Sham Kamikaze

Saya selalu berdoa….

” Ya ALLAH, jangan Engkau bagi hidayah kepadaku, kemudian Engkau tarik semula hidayah itu “ cerita bekas penyanyi utama kumpulan rock Kamikaze, Sham Kamikaze atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 35. Beliau memilih jalan berdakwah selepas 7 bulan berhijrah dan meninggalkan dunia hiburan.

Menurut mantan pensyarah UITM Shah Alam dalam bidang Jazz Performance itu, apabila kita tahu masa kita untuk beribadah dan mencari ilmu sangat singkat, barulah kita dapat memahami kenapa ulama’-ulama’ dan ustaz-ustaz tidak pernah cukup masa.

“ Lepas kuliah Subuh, Zohor, Asar, kemudian kuliah Maghrib dan Isyak. Lepas itu bangun malam bertahajjud. Masa dulu kita tak faham, namun sekarang baru kita faham. Menjadi sibuk itu tidak dinafikan. Cuma kita kena pilih untuk sibuk dalam mencari redha ALLAH atau mencari harta dunia. Itu beza yang paling nyata “ ujarnya
Selama 7 bulan ini, saya rasa hidup saya lebih bermakna. Ketika dalam dunia hiburan, saya mendapat pelbagai sanjungan, hinaan dan kejian. Akhirnya kita tahu mereka kutuk kta pun tidak dapat apa!

“ Saya dah lama tak cari makan. Ramai Tanya kepada saya bagaimana dengan pendapatan. ALLAH berfirman yang bermaksud : Aku akan cukupkan !. Apa yang penting Dia mahukan kita bertawakkal kepada-Nya. Contohnya dahulu, saya buat konsert dan memperoleh pendapatan mewah setiap bulan. Hari ini, ALLAH tak bagi saya macam dulu,tetapi tetap cukup. Saya tidak pernah lagi tidak dapat membayar rumah dan kereta “ tegasnya

Jadi, saya tidak mahu berpesan atau memberi nasihat kepada rakan-rakan artis yang lain, nanti mereka akan label saya ‘macam bagus !”. Lebih baik saya mendoakan semua artis dan umat Islam supaya diberi taufik dan hidayah daripada ALLAH Taala.


7-Nora

Ulang tahun hari kelahiran Nora yang ke-35 pada 26 julai 2008 merupakan satu titik penghijrahan buat penyanyi yang pernah popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema ini. Ini kerana, mulai saat itu, pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin ini mula bertudung selepas mencipta nama sebagai penyanyi sejak 1994. Menurutnya, niat memakai tudung adalah bukan kerana dipaksa, tetapi niat itu hadir daripada hatinya sendiri yang bertekad menjadi contoh kepada 3 orang anaknya yang makin membesar. Syakir Iman, 18, Syakir Alif, 12 dan Puteri Nur Dahlia, 7 merupakan ermata hati Nora yang sentiasa mahu melihatnya menjadi ibu terbaik termasuklah dari segi berpakaian. Menurut isteri kepada komposer terkenal, Johan Nawawi ini, dia seolah-olah berasa terpanggil untuk bertudung apabila sering berbicara dengan anak-anaknya mengenai perkara itu.

“ Anak-anak selalu bertanya mengapa saya tidak bertudung ? Ketika itu saya beri beberapa alas an antaranya saya memang nak bertudung, tapi belum sampai masanya lagi. Tambah menyentap perasaan apabila anak-anak semakin matang dan berkata kalau tak pakai tudung takut nanti mati masuk neraka. Sejak dari itu, saya mula berfikir banyak kali “ ujarnya

Jelasnya lagi, walaupun perubahan itu didorong oleh anak-anaknya, tetapi sebenarnya dia sudah menanamkan azam untuk bertudung sejak 5 tahun dulu. Buktinya dia sering meminta pendapat rakan-rakannya dan keluarga. Baginya, biarlah perubahannya nanti kekal dan istiqamah, dan bukannnya setakat hangat-hangat tahi ayam.

“ Saya banyak bertanya kepada kawan-kawan dan mereka memberikan pelbagai respons. Antaranya mereka mencadangkan saya memakai tudung selepas balik daripada menunaikan haji. Ketika saya nekad memberitahu pada suami saya mengenai keinginan saya itu (bertudung), saya dapat lihat perubahan pada matanya yang bergenang air mata seakan-akan tidak percaya perubahan yang akan saya lakukan. Saya tegaskan pada suami yang saya memang nekad dan tidak menyesal dengan keputusan itu. Ia satu hijrah awal saya sebelum melakukan hijrah lain seperti mendalami ilmu-ilmu agama pula “ ujarnya lagi

Sejak mengenakan tudung, katanya rezeki tidak pernah putus-putus. Malah dia turut terbabit dalam pelbagai program usrah, ceramah dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan golongan wanita di pelbagai agensi swasta dan kerajaan.


8-Ashraf Muslim

Ketika jejaka ini muncul pada majlis pelancaran musim ke-3 program realiti Gadis Melayu beberapa tahun lalu, perwatakannya jauh berbeza. Bagi pemilik nama Mohd Ashraf Muslim ataupun lebih dikenali sebagai Ashraf Muslim ini, penampilannya pada program realiti tersebut kelihatan sedikit pendiam berbanding perwatakannya sebelum ini yang peramah dan ceria. Dia kelihatan lebih serius dan tutur katanya pula disusun dengan penuh berhati-hati.

Menurut Ashraf yang lebih dikenali menerusi drama Ustaz Amirul ini, sejak menjadi Tenaga Pengamal Perubatan Islam melalui al-Quran di Syifa al-Hidayah sejak setahun lalu, dia mula berubah dan cuba mengawal diri.

“ Saya masih orang yang sama. Cuma kini saya lebih menjaga percakapan. Memang saya akui saya kurang bercakap dan tidak lagi ligat seperti dulu. Sejak terbabit dengan ilmu perubatan Islam ini, maruah diri juga perlu saya jaga dengan lebih baik lagi. Pemikiran dan wawasan saya juga berbeza. Kini saya tahu apa yang saya mahukan dalam hidup. Dulu fokus saya hanya pada kerja, tetapi sekarang saya perlu seimbangkan antara dunia dan akhirat “ kata Ashraf

Sejak bergelar pengamal perubatan alternatif Islam, Ashraf menemui ketenangan kerana dapat membantu mereka yang memerlukan terutamanya penderita kanser. Malah, masanya kini dibahagi dua iaitu antara kerjaya seni dan tugasnya sebagai pengamal perubatan alternatif Islam. Ketika ditanya mengenai kemungkinan dia akan meninggalkan terus dunia seni, ini jawapannya :

“ Tak mustahil. Bagi saya tidak salah jika mahu terus berlakon, tetapi saya perlu fikir sampai ke tahap mana saya akan berlakon. Sebenarnya saya lebih suka berniaga tetapi entah bagaimana kecenderungan saya kini terarah kepada dunia lakonan. Sejak sibuk dengan klinik sendiri, saya sudah kurang berlakon dan selepas ini saya akan lebih berhati-hati memilih cerita dan watak demi mengelak timbulnya fitnah. Saya akan mengelak dari adegan berpegang-pegangan tangan atau bersentuhan dengan wanita termasuk semasa sesi fotografi. Jadi saya tidak akan bergambar berdua-duaan dengan wanita bukan mahram dan berharap semua pihak menghormati keputusan saya “ jelas Ashraf


9-Diana Amir

Bagi pelakon wanita yang semakin meningkat naik ketika ini, Diana Amir, dia juga sudah mula melakukan hijrah secara beransur-ansur. Menurut pelakon utama filem 321 CInta dan AKu Masih Dara ini, dia sudah beberapa kali bermimpi tentang hari kiamat. Seusai mendapat mimpi tersebut, Diana nekad untuk bertudung walaupun sedar yang dia masih lagi cetek ilmu agama. Cerita Diana :

“ Saya ambil keputusan ini kerana saya sudah beberapa kali diberi petanda dan mimpi buruk tentang kiamat sejak 3 bulan lalu. Mimpi-mimpi tersebut juga mengingatkan saya tentang kematian yang semakin hampir dan perkara itu sering membelenggu hidupsaya beberapa bulan kebelakangan ini. Saya tak tahu kenapa perkara itu berlaku kepada saya. Mungkin ALLAH ingin memberikan petunjuk dan saya menceritakan kepada seorang rakan. Namun rakan saya itu yang terlebih dahulu berhijrah (bertudung) daripada saya. Saya tahu yang saya masih lemah mengenai hal-hal agama, dan disebabkan itu saya ambil keputusan untuk bertemu dengan Irma Hasmie dan Wardina Safiyyah untuk mendapatkan nasihat mereka “ ujarnya panjang



Menurut Diana lagi, ketika membuat keputusan tersebut, dia telah berjumpa dengan David Teo untuk meminta pendapat tentang lakonan dan kerjayanya selepas ini. Biarpun tidak dijanjikan apa-apa oleh David, namun Diana yakin yang rezeki itu ketentuan ALLAH dan ia ada dimana-mana sahaja.


10-Nur Fazura

Tidak ketinggalan juga bagi bintang filem Pisau Cukur dan terbaru wataknya dalam drama Tahajjud Cinta juga dikatakan sudah melakukan hijrah. Nur Fazura atau lebih dikenali dengan nama Fazura dikatakan mula berniat memakai tudung setelah membintangi drama Kitab Cinta suatu ketika dahulu, kemudian diikuti pula dengan drama Tahajjud Cinta yang memerlukannya untuk bertudung. Menurut Fazura :

“ Apabila memakai jubah dan purdah semasa di Jordan untuk beberapa babak dalam Tahajjud Cinta, saya berasa sangat selesa walaupun pada hakikatnya cuaca di sana tidak seperti di Malaysia. Pada mulanya agak janggal juga mengenakan pakaian Muslimah itu, namun semua itu dapat diatasi dengan bantuan pengarah dan rakan lain. Tiada sebarang masalah sepanjang tempoh penggambaran. Mungkin itu hikmahnya untuk saya bertudung selepas ini walaupun hanya ringkas saja, Insya-ALLAH “ harap Fazura

Semoga niat Fazura ini menjadi kenyataan. Tahniah diucapkan kepada pengarah yang berjaya menghasilkan ‘produk Muslimah’ seperti ini. Bukan apa, muka dah cantik, tapi jika bertudung SUBHANALLAH, lagi bertambahlah kemanisan itu.


11-Azmil Mustapha

“ Waktu itu saya baru balik dari pub, jadi apabila buka TV ada siaran terjemahan al-Quran dan doa penutup siaran. Masa itu saya perhati terjemahan tersebut dan saya rasa ALLAH hebat. Saya terus memuji ALLAH, tapi cakap Inggerislah ( ketawa ) “ ujar Azmil Mustapha

Beliau dahulunya merupakan salah seorang pelakon terkenal pada era 90-an dengan filem Ali Setan. Haji Mohd Azmil Dato’ Mustapha ini bagai tidak percaya bahawa watak nakalnya dalam filem tersebut telah berubah sama sekali. Berjubah putih, berjnaggut dan riak wajahnya kini sudah cukup untuk menggambarkan ketenangan yang dikecapinya. Berbual dengannya seolah-olah sedang mendengar ceramah, yang kini menjadi rutin hariannya. Mengulas mengenai perubahannya, selepas peristiwa menonton siaran TV tersebut, beliau sering memuji ALLAH dengan berkata :

“ Wow ! ALLAH is great ! “ dan macam-macam lagi yang timbul dari mulutnya ketika itu. Akhirnya ia menjadi amalan beliau. Setiap malam, beliau mesti akan menonton siaran itu. Kalau keluar malam sekalipun, beliau akan bergegas pulang hanya disebabkan untuk menonton siaran terjemahan itu.

“ Kawan-kawan saya terkejut, tapi waktu tu saya belum berubah sepenuhnya. Jadi kawan-kawan selalu peril saya. Macam-macam la mereka kata…kepala senget, nak tengok Quran dan macam-macam lagi. Lepas tu saya jumpa seorang ustaz untuk minta diajar cara untuk bertaubat. Saya buat taubat nasuha. Saya dalami agama dan belajar sembahyang. Saya memang tidak tahu langsung tentang solat ni. Baca Quran pun merangkak-rangkak. Baca al-Fatihah pun buka buku lagi, itupun tulisan rumi. Tapi saya istiqamah. Lama kelamaan saya semakin meningkat. Saya ingat lagi jika dulu say abaca surah Yasin ambil masa 2 jam. Lepas solat Subuh saya mula baca sampai habis kira-kira pukul 8.30 pagi. Gara-gara baca merangkak la. Umur dekat 30 tahun, baru ssaya hafal al-Fatihah. Alhamdulillah, sekarang dah okey “ ujar Azmil

Beliau kemudian menambah :

“ Ketenangan yang saya rasa tak dapat nak diceritakan. Tak boleh nak nilai. Tak boleh nak dibandingkan dengan ditu yang dulunya saya pegang berjuta-juta. Duit boleh habis, tapi ketenangan yang saya rasa sekarang, saya tak mahu jual biarpun orang bayar berjuta-juta. Saya juga rasa satu perkembangan yang sangat baik bagi saya ialah apabila saya berceramah ni, ilmu saya bertambah. Saya membaca, bertanya kepada ustaz-ustaz kerana saya bukan latar belakang agama. Jadi saya lebih mengenali ALLAH sejak berceramah ni. Alhamdulillah, sambutan orang terhadap ceramah saya pun bagus. Maklumlah, ‘ setan ‘ datang ceramah. Kalau ulama ceramah tak ramai datang. Tarikan setan memang kuat ( ketawa ) “ jelas Azmil panjang


12-Amer Munawer & Al-Mawlid

Pertemuan di kelas agama ternate member satu wadah perjuangan baru kepada beberapa bekas ahli 3 buah kumpulan yang sememangnya cukup popular dengan lagu berentak R&B dan Soul ini. Jika sebelum ini, lagu-lagu mereka lebih menjurus kea rah mencintai wanita, kini lagu-lagu yang dipersembahkan adalah lebih kepada mencintai ALLAH dan Rasulullah s.a.w. Itulah yang diperjuangkan oleh Saiful Amir Abdul Wahab ( Pot Innuendo ), Abdullah Ahmad ( Lah VE ) , Zafri Nazarudin ( Zaf VE ), Azan Addin Abdul Wahab ( Azan Ruffedge ) dan Amer Munawer Yusoff ( Amer Ruffedge ). Amer yang mewakili kumpulan itu berkata, memandangkan minat mereka yang mendalam terhadap muzik sejak dulu lagi, kini mereka sepakat untuk meneruskan karier nanyian dengan lagu-lagu yang menjurus kepada ketuhanan.

“ Selama ini, kami memang berkawan antara satu sama lain, namun kali ini kami dipertemukan dan bersatu melalui sebuah kelas agama yang telah dihadiri sejak beberapa tahun yang lalu. Apabila sering bertemu di kelas agama, kami telah berbincang tentang pendekatan yang lebih sesuai dilakukan memandangkan minat terhadap muzik itu masih wujud dan akhirnya tertubuhlah sebuah kumpulan nasyid yang diberi nama al-Mawlid “ ujarnya.

Menurut Amer, ketika ini, ahli kumpulan nasyid tersebut dianggotai oleh 7 orang termasuk Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir ( Taj Innuendo ) dan Syed Mohammad Syed Abdullah ( Mode Ruffedge ), tetapi buat masa ini Cuma mereka berlima yang akan bergerak secara aktif terlebih dahulu.

Ujarnya, sejak beberapa tahun yang lalu, mereka semua mengikuti kelas agama yang dibimbing oleh Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid pada setiap hari Jumaat di Surau al-Hidayah, AU3 Keramat dan hari Ahad di Madras Annur, Pantai Dalam Kuala Lumpur. Ditanya tentang pengajian kelas agama yang diikuti mereka, Amer menjelaskan mereka mempelajari ilmu Talaqqi yang merangkumi 4 bidang ilmu iaitu Tauhid, Tasawwuf, Hadis dan Feqah.

“ Boleh dikatakan cara pembelajaran kami di situ lebih kepada cara tradisional iaitu mempelajari ilmu agama menerusi kitab dan akan dibimbing oleh seorang guru agama “ ujarnya

Mengenai nama kumpulan pula, mereka sepakat untuk dikenali dengan nama al-Mawlid yang bermakna kelahiran Rasulullah dan ia merupakan satu simbolik kepada kelahiran semula mereka dalam bidang nyanyian menerusi wadah perjuangan yang baru.

“ Pada mulanya, kami agak risau juga sekiranya apa yang kami lakukan ini tidak mendapat persetujuan daripada guru agama kami. Namun Alhamdulillah, beliau ternyata tidak menentang, malah member sepenuh sokongan kepada kami “ jawab Amer ringkas


Konklusi………….

Tuntasnya, perubahan sebahagian golongan artis ini adalah tindakan yang sangat tepat kerana setiap manusia memang memerlukan kesedaran dan kembali ke pangkal jalan. Artis merupakan salah satu ejen pencorak kepada masyarakat dan mempunyai peranan yang tersendiri dalam membangunkan sesebuah tamadun negara dan manusia. Namun begitu, jangan pula kita mengutuk dan mengeji sebahagian golongan artis yang ‘belum sedar’. Mereka tidak boleh dipersalahkan 100%. Ini kerana hidup mereka selama ini telah dibentuk oleh sistem yang diamalkan dalam negara yang tidak melihat Industri hiburan dalam konteks al-Quran dan As-Sunnah. Penulis ingin berkongsi mengenai kata-kata yang pernah diungkapkan Wardina Safiyyah iaitu :

" Tidak semestinya yang baik sebelum itu akan terus menjadi baik sekarang, dan yang pasti tidak semua yang jahat sebelum ini akan terus menjadi jahat pada masa akan datang. Pendek kata, semua orang boleh berubah "

Terus terang penulis cakap, kan cantik bile tengok artis wanita bertudung ditambah dengan perubahan artis lelaki yang menjadi pemimpin. Papepun, tahniah diucapkan kepada mereka yang sudah berubah dan semoga rakan-rakan artis yang lain akan menuruti jejak langkah mereka kelak, Allahumma Amiiin………Wallahu’allam

5 comments: