Pages

Tuesday, April 9, 2013

Memperingati 65 Tahun Tragedi 'RAKUS' Zionis di Deir Yaasin



Bismillahi wa'alabarokatillahi wa'alarosulillah....
Tarikh 9 April setiap tahun akan sentiasa terpahat di hati rakyat Palestin sebagai tragedi pilu yang masih dirasai sehingga kini. Meskipun tragedi dahsyat itu sudah berlalu 65 tahun yang lalu, ia tetap menghantui rakyat Palestin dan sesiapa sahaja yang punya rasa kemanusiaan tanpa mengira bangsa dan agama.

APA ITU TRAGEDI DEIR YAASIN ???

Pada awal pagi sekitar 4.30 pagi Jumaat 9 April 1948, penduduk Palestin di Deir Yaasin telah dikejutkan dengan perintah untuk mengosongkan rumah kediaman & kampung halaman mereka. Seusai itu, kumpulan pengganas zionis Haganah menangkap dan membariskan 33 orang yang menghadiri majlis perkahwinan di sepanjang tembok bangunan. Kesemua mereka termasuk pasangan pengantin kemudiannya ditembak tanpa belas kasihan. Hanya seorang kanak-kanak yang berumur 12 tahun ketika itu hidup untuk menceritakan pengalaman ngeri yang disaksikan dengan mata kepalanya sendiri. Kanak-kanak itu terselamat kerana dilindungi oleh mayat-mayat ahli keluarganya, beliau melihat sendiri bagaimana adik perempuannya yang berusia 4 tahun bersepai kepalanya ditembak oleh pengganas-pengganas tersebut.

Itulah dia tragedi Deir Yassin yang akan kekal ditulis dengan tinta 'merah' berdarah. Peristiwa yang amat dahsyat ini dilakukan oleh sekelompok manusia 'keji' yang mendakwa mereka diseksa dengan kejam oleh Nazi di kem-kem Auswitch, Bergen-Belsen dan Dachau. Ternyata kezaliman dan tindakan yang tidak akan dilakukan oleh haiwan sekalipun membuktikan bahawa pendokong zionis hanya berselindung disebalik penderitaan mereka untuk melakukan perbuatan yang jauh lebih keji dari apa yang mereka alami. Peristiwa Deir Yassin menyaksikan bagaimana tahap kemanusiaan sudah jatuh ke tahap yang amat keji sehingga tidak mungkin dibayangkan oleh sesiapa yang masih waras akal fikirannya.

Cukuplah apa yang didedahkan oleh beberapa orang yang terselamat kerana terlindung di sebalik timbunan mayat dan timbunan batu dan kayu yang menyaksikan bagaimana wanita-wanita hamil dirodok perut mereka dan dikeluarkan janinnya. Kira-kira 25 orang ibu yang mengandung dipaksa melihat bagaimana bayi yang mereka kandung dikerat sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Kanak-kanak pula dipancung di hadapan ibu-ibu mereka. Seramai 52 orang kanak-kanak dibunuh secara kejam begini. Tidak puas dengan pembunuhan tersebut, pihak Zionis ini telah mengumpulkan semua wanita dan remaja perempuan yang masih hidup di sekitar Deir Yassin, menanggalkan seluruh pakaian mereka lalu membaringkan mereka di atas kenderaan secara terbuka. Zionis ini kemudian telah membawa mereka ke sekeliling kawasan perumahan yahudi di wilayah Baitul Maqdis di dalam keadaan tanpa seurat benang sebelum mereka semua dibunuh dengan muntahan peluru-peluru yang kejam.

Ternyata perbuatan amat biadap ini sengaja dirancang untuk menimbulkan ketakutan yang mencengkam di hati-sanubari rakyat Palestin supaya mereka segera meninggalkan tanah air mereka demi keselamatan diri dan keluarga. Siri-siri pembunuhan beramai-ramai ini telah berlaku di banyak tempat sebelum Deir Yassin, namun sebagai umat yang bermaruah, rakyat Palestin sama-sekali tidak akan menyerah kalah. Mereka tetap bertahan dan mempertahankan kampung halaman mereka meskipun terpaksa berhadapan dengan kumpulan pengganas Zionis yang disokong oleh Bangsa-bangsa Bersatu, British dan negara-negara Eropah. Bantuan kewangan dan senjata terus dinikmati oleh tiga kumpulan pengganas yahudi seperti Irgun, Haganah dan Stern gang. Menjelang November 1974 apabila pelan pemisahan (partition plan) dilaksanakan oleh PBB melalui resolusi 181, pengganas-pengganas yahudi sudah memiliki 16,000 senjata api ringan, 1000 mesin gun dan 750 mortas. Dengan pelbagai senjata ini mereka menceroboh kampong halaman rakyat Palestin di Qilqiya, Nablus, Akka, Tulkarem, Beersheba, Baisan, Haifa dan Yaffa. Kemuncaknya ialah pembunuhan yang berlaku di Dier Yassin pada 9 April 1948.


Zionis Kejam + Tidak Bertamadun

Tindakan biadap kumpulan Haganah disempurnakan oleh Irgun yang dipimpin oleh tak lain dan tak bukan Menachem Begin. Dia bersama rakan-rakan remajanya, lelaki dan perempuan melakukan ‘operasi pembersihan’ ke atas Deir Yassin. Para doktor dari Persatuan Palang Merah menyaksikan bagaimana para remaja ini memastikan tidak ada yang hidup dengan membunuh sesiapa sahaja yang masih bergerak dengan senjata 'sub' mesin gun, bayonet dan pisau. Cara pembunuhan mereka tidak pernah dilakukan di dalam sejarah ketamadunan manusia iaitu dengan meniris mangsa dari hujung kepala ke hujung kaki dan membiarkan mereka mati dengan penuh seksa.

Menachem Begin kemudiannya diangkat menjadi Perdana Menteri Israel dan dijulang sebagai pejuang kemanan dunia yang dianugerahkan hadial nobel untuk keamanan. Anugerah berprestij ini dikongsi bersama Anwar Sadat (Mantan Pemimpin Mesir) hasil dari perjanjian damai Camp David pada tahun 1978 di antara Mesir dan Negara haram Israel. Satu perjanjian yang menyaksikan Anwar Sadat dihina di seluruh dunia dengan mengiktiraf Israel dan ditempelak oleh Menachem Begin dengan ucapan biadapnya ‘Selamat datang ke Jerusalem, ibu negara abadi Israel’. Perjanjian inilah yang telah menggadaikan maruah umat Islam dan rakyat Mesir. Mesir yang sebelum itu merupakan satu-satunya negara Arab yang mempunyai kekuatan yang setanding dengan Israel bertukar menjadi kambing dan lembu yang ditarik hidung mengikut 'tuannya'. Sejak tahun 1978 hingga tumbangnya Hosni Mubarak pada bulan Februari 2011, Mesir diberikan kepercayaan penuh oleh Amerika Syarikat untuk memastikan keselamatan Israel sentiasa dipelihara.

Tragedi Deir Yassin adalah simbol berdirinya Negara haram Israel di atas darah rakyat Palestin yang tumpah membasahi bumi. Menachem Begin di dalam bukunya ‘The Revolt’ dengan bangganya mengatakan :

“Tanpa apa yang dilakukan di Deir Yassin maka tidak akan wujud negara Israel."

Dia menambah lagi :

"Ketika Haganah menjalankan beberapa operasi yang berjaya di medan-medan lain… orang-orang Arab menyelamatkan diri mereka dengan disertai panik sambil menjerit ketakutan ‘Deir Yassin!’

Menachem Begin dan semua pepimpin Israel yang dijulang sebagai negarawan dan pejuang keamanan dunia seperti Arial Sharon dan Shemon Peres adalah remaja-remaja bersenjata yang membunuh rakyat Palestin tanpa sedikitpun perasaan kemanusiaan dan bersalah. Kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila pada tahun 1982 yang menyaksikan lebih 3,000 rakyat Palestin dibunuh dengan kejam oleh Arial Sharon adalah bukti jelas bahawa‘modus operandi’ mereka tidak akan berubah. Inilah pendekatan yang masih digunakan oleh Israel di Gaza, Nablus, Ramallah, Jenin, Baitul maqdis dan al-Khalil bagi mengekalkan pendudukan, pengepungan dan penghinaan ke atas Masjid al-Aqsa. Bagi mereka nyawa rakyat Palestin tidak punya harga dan mereka akan hapuskan seramai mana rakyat Palestin yang diperlukan bagi memastikan Negara haram Israel terus kekal dalam peta dunia.


SIAPA SAKSI TRAGEDI DEIR YAASIN ???

1) Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan :

”Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil Sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Tentera tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.

2) Fahmy Zaidan, satu-satunya yang selamat daripada seluruh isi keluarganya dan berumur 12 tahun pada tragedi tersebut menceritakan mimpi ngerinya,

”Pengganas Yahudi telah mengarahkan semua ahli keluargaku berdiri mengadap ke dinding. Mereka kemudiannya menembak semua ahli keluargaku satu persatu. Aku terselamat kerana aku sempat berlindung di kalangan ahli keluargaku yang dewasa. Mereka terus menembak sehinggakan sebutir peluru telah mengenai Qadriya, adik perempuanku yang berumur 4 tahun. Kemudian seorang demi seorang gugur termasuklah ayauku, ibuku, datuk dan nenekku, pak cik dan mak cik saudaraku serta anak-anak mereka”.

3) Jacques de Reynier, Ketua misi Pertubuhan Palang Merah ke Palestin pada 1948, yang melihat anggota-anggota mayat yang dipotong serta berselerakan berkata,

“Keadaan yang ada sungguh mengerikan. Saya juga melihat orang-orang muda lelaki dan perempuan yang memegang senapang dan bom tangan. Tangan-tangan mereka masih berlumuran dengan darah. Saya melihat seorang wanita Yahudi yang kelihatan sebagai seorang penjenayah yang sangat kejam. Dia memperlihatkan darah-darah yang menitis dari kedua-dua tangannya seraya mengangkatnya dengan bangga seolah-olah dia sedang memegang dua piala kejuaraan”.

ANDA MASIH BERPELUK TUBUH ???

Kini telah 65 tahun berlalunya tragedi hitam Deir Yassin. Tragedi ini hanyalah satu daripada ratusan tentetan tragedi yang berlaku kepada rakyat Palestin. Negara Palestin yang dahulunya aman dan rakyatnya yang telah dinaungi keadilan terus dijajah oleh rejim Yahudi Zionis. Penangkapan, penyiksaan, penyembelihan dan pembunuhan terus berlaku tanpa mendapat perhatian yang selayaknya dari media antarabangsa. Konspirasi senyap lagi bisu di kalangan mereka juga telah menular di kalangan media Arab serta dunia Islam sekeliannya. Sepatutnya, sudah sampai masanya untuk kita mengambil berat isu dan permasalahan umat Islam seperti di Palestin dan yang terbaru di Syria.

Persoalan yang timbul, adakah kita rakyat Malaysia akan bersimpati dan prihatin dengan isu terbesar umat Islam di abad ini yakni PENINDASAN, PEMBUNUHAN & KEHANCURAN PEMIKIRAN + TAMADUN ISLAM ??? Apalah sangat sumbangan yang telah kita berikan jika dibandingkan dengan saudara kita di Palestin & SYria khususnya yang telah mengorbankan keringat dan keselesaan, jiwa dan kehidupan demi mempertahankan maruah umat di muka bumi ini.

Janganlah kita biar dan menganggap setiap peristiwa yang berlaku terhadap umat Islam itu sebagai 'takwim' atau kalendar perjalanan yang sentiasa berlaku. Janganlah juga kita menganggap ianya sekadar menjadi lembaran sejarah. Marilah kita bersama melakari sejarah baru ketika umat amat menantikan fasa kebangkitan dan kegemilangan. Jangan tengok kiri atau kanan, jangan tanya orang lain tetapi tanya diri kita sendiri. Apa yang telah dan yang akan aku sumbangkan?

No comments:

Post a Comment