Sunday, March 27, 2011
BERMAZHAB TANPA FANATIK SATU RAHMAT ???
Bismillahiwa'ala barokatillahi wa'alarosulillah
Ramai yang agak keliru dengan fahaman mazhab. Ada juga yang mengganggap bahawa mazhab merupakan faktor kepada perpecahan umat Islam. Ada juga yang beranggapan bahawa pegangan mazhab adalah salah dan sesat kerana tidak berpegang dengan Quran dan sunnah. Namun ada juga yang memandang serong kepada golongan yang tidak bermazhab.
ERTI BERMAZHAB
Apakah sebenarnya mazhab? Mazhab adalah perkataan Arab. Dalam pengertian umum, mazhab bermakna pendapat, fatwa, cara pengambilan hukum dan yang seumpamanya. Apabila disebut mazhab Maliki, ia bermakna pendapat Maliki, fatwanya, cara pengambilan hukumnya dan sebagainya.
Apakah apabila bermazhab Syafii bermakna kita tidak mengikut Quran dan sunnah? Apakah umat Islam yang bermazhab Hanbali tidak mengikut Quran dan sunnah? Jika benarlah ada tuduhan begini, ia satu tuduhan yang tidak berasaskan ilmu dan keinsafan.
Bermazhab bermakna mengikut Quran dan sunnah berdasarkan kefahaman seorang ulama muktabar. Umat Islam yang bermazhab Syafii bermakna mengikut Quran dan sunnah sebagaimana yang difahami oleh Imam Syafii. Sebagai manusia, sudah tentu Imam Syafii bukanlah seorang yang mak’sum (terpelihara daripada dosa dan kesilapan). Mungkin ada pendapat, kefahaman, fatwa dan huraian Imam Syafii terhadap Quran dan sunnah kurang tepat atau kurang sesuai untuk diamalkan. Oleh itu, sebagai umat yang sedar akan hakikat ini, kita sepatutnya meninggalkan pendapat Imam Syafii yang mungkin kurang tepat atau kurang sesuai untuk diamalkan.
Sebagai contoh, dalam masalah pembayaran zakat fitrah, Imam Syafii r.a. tidak mengharuskan penggunaan wang sebaliknya menekankan soal makanan asasi. Namun pendapat ini mungkin kurang sesuai diamalkan maka umat Islam telah berpindah kepada pendapat Imam Hanafi r.a.
JIKA MENGIKUT QURAN DAN SUNNAH, KENAPA BERMAZHAB
Semua mazhab yang empat mengikut Quran dan sunnah. Ini satu perkara yang tidak boleh dinafikan. Sumber-sumber pengambilan hukum setiap mazhab meletakkan Quran diikuti sunnah sebagai sumber tertinggi.
Jika ditanya kenapa rukun wudhuk enam perkara, ada dalilnya daripada Quran dan sunnah. Jika dicari kenapa rukun solat tiga belas perkara, ada dalilnya daripada Quran dan sunnah. Setiap masalah pasti ada dalilnya. Bagi yang ingin mendalami masalah ini, mungkin boleh cuba membaca buku Fiqh dalam empat mazhab (al-Fiqh a’la al-Mazahib al-Arbaa’h ). Bagi yang ingin meluaskan perbincangan, boleh juga merujuk kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (Fiqh Islam dan dalil-dalilnya). Kitab ini telah pun diterjemahkan. Bagi yang bermazhab Syafii, antara kitab yang baik ialah kitab al-Fiqh al-Manhaji a’la al-Mazhab as-Syafii. Kitab ini juga telah diterjemahkan.
Secara ringkas, kesemuanya bersandarkan Quran dan sunnah. Oleh itu, kembali kepada persoalan, kenapa bermazhab jika mengikut Quran dan sunnah? Secara logik, ia boleh diibaratkan sebagai menghormati kepakaran seseorang. Sudah tentu tidak ada seorang manusia pun yang mampu menguasai ilmu pengetahuan. Jika sakit, kita akan berjumpa doktor. Apa sahaja ubat yang diberikan oleh doktor, biasanya kita akan terima dan mengambilnya. Apakah perlu kita mempersoalkan ubat yang diberikan. Jika kereta yang rosak, kita akan menghantarnya kepada mekanik. Biasanya apa sahaja yang diperbaiki oleh mekanik, kita akan akur. Begitulah mazhab di mana tidak semua orang mampu menganalisa setiap ayat Quran dan hadis. Oleh itu, kita menghormati kepakaran seorang sarjana Islam yang telah menghabiskan masa, umur dan tenaga mengkaji hukum Islam.
SALAHKAH BERMAZHAB
Sebenarnya tidak salah untuk bermazhab khususnya mazhab yang muktabar dan terpelihara. Antaranya mazhab yang empat dalam Ahli Sunnah iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali. Keempat mazhab ini mempunyai pengikut yang ramai dan ulama muktabar selepas mereka. Ulama-ulama ini bertanggungjawab menyusun dan dan menapis setiap pendapat dengan dalil dan hujah.
Namun ada satu penyakit dalam masalah mazhab iaitu fanatik kepada mazhab. Fanatik ini disebut sebagai taa’sub . Fanatik akan menyebabkan banyak masalah dan musibah. Oleh itu, kemungkinan besar antara punca perpecahan umat Islam ialah ialah fanatik mazhab bukan bermazhab. Sekadar bermazhab tanpa fanatik merupakan satu rahmat kepada umat Islam. Manakala fanatik mazhab akan melahirkan perasaan bahawa mazhab anutannya sahaja yang betul, manakala mazhab lain adalah salah. Fanatik mazhab akan mengakibatkan orang tidak mahu bersolat dengan imam yang berlainan mazhab. Fanatik mazhab akan menjadikan perkahwinan antara orang berbeza mazhab tidak sah. Akhirnya umat Islam hidup dalam perpecahan.
PARADIGMA BARU DALAM BERMAZHAB
Bagi mengatasi masalah fanatik mazhab, maka menjadi kewajipan untuk umat Islam menyedari hakikat bahawa semua mazhab muktabar mengikut Quran dan sunnah. Oleh itu, adalah baik jika pengajian bermazhab dipermudahkan. Permasalahan wudhuk yang mudah dan senang janganlah diperpayahkan. Ia juga memerlukan penggunaan dalil agar umat Islam lebih terbiasa dengan Quran dan sunnah.
Pendidikan perlulah ada langlah demi langkah untuk memahamkan kita dengan Quran dan sunnah. Jika kecil, kita diajar cara berwudhuk tanpa mengetahi dalilnya. Alangkah comelnya jika kita semakin pandai membaca, maka kita cuba lagi menggali sedikit demi sedikit lautan mutiara ilmu dalam Quran dan sunnah. Bukan sekadar tahu dalilnya sahaja, tetapi dapat menyelami hikmah dan faedahnya. Semua ini akan mengukuhkan keyakinan kita terhadap ajaran Allah s.w.t.
Umat Islam juga hendaklah meletakkan Quran dan sunnah Nabi s.a.w. sebagai sumber tertinggi dalam Islam, bukannya mazhab. Sebagaimana dimaklumi, mazhab adalah tafsiran terhadap keduanya. Ada kemungkinan pandangan mazhab kurang tepat atau mungkin kurang sesuai diamalkan. Maka tanpa penyakit fanatik mazhab, tanpa menjadikan mazhab sebagai syariat, maka akan mudahlah untuk kita mengikut pandangan yang lebih hampir dengan Quran dan sunnah.
CONTOH ULUNG DALAM MENGHORMATI PERBEZAAN PENDAPAT
Satu contoh yang sering disebut adalah tentang Imam Syafii r.a. Dalam mazhab ini, doa qunut solat Subuh adalah sunat. Jika tidak dilakukan doa qunut, maka sunat diganti dengan sujud sahwi.
Satu masa, Imam Syafii r.a datang ke satu masjid di mana orang ramai di situ bermazhab Hanafi r.a. Imam Syafii r.a. diminta menjadi imam solat Subuh. Apabila bersolat, beliau meninggalkan doa qunut dan tidak pula melakukan sujud sahwi. Selesai solat, beliau ditanya masalah ini. Beliau menjawab bahawa beliau menghormati pendapat Imam Hanafi r.a. yang tidak menyunatkan doa qunut ketika solat Subuh.
Begitulah ceritanya secara ringkas. Jika benarlah cerita ini, ia patut menjadi contoh kepada umat Islam dalam adab bermazhab.
Wallahu'allam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment